Mingguan Melaka
     

KERAJAAN SENTIASA PRIHATIN NASIB RAKYAT MISKIN

LIMBONGAN : Sebanyak tujuh buah rumah telah dibina menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan ini dalam usaha kerajaan negeri memberiken penempatan dan penginapan kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Kos bagi pembinaan rumah-rumah berkenaan purata tidak melebihi RM10,000 diberikan secara percuma kepada golongan yang telah dikenal pasti tidak berkemampuan untuk memiliki kediaman sendiri.

Seorang penerima, Nyonya Abd Hamid berkata pemberian itu amat besar ertinya kerana untuk membina sendiri rumah yang sempurna dan selesa pastinya diluar kemampuan dirinya yang hidup sendirian.

Beliau yang mempunyai seorang kakak yang juga hidup sebatang kara mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri serta semua pihak yang banyak membantunya selama ini.

"Terima kasih saya yang tidak terhingga atas pemberian ini kerana tanpa bantuan yang diberikan saya pasti terus hidup dalam kemiskinan dan tidak terurus kerana tidak mempunyai kediaman sempurna," ujarnya.

Seorang lagi penerima, Jamiah Che Sapi memberitahu keluarganya berasa amat terhutang budi kerana masih ada pihak yang prihatin terhadap keperitan hidup serta kemiskinan yang menimpa keluarganya.

Menurutnya, usianya yang semakin lanjut serta tahap pendidikan yang terlalu rendah menyukarkannya untuk mendapatkan pekerjaan bagi membela nasib keluarga yang dihimpit kemiskinan.

Jamiah berkata, bantuan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak menyediakan tempat yang terjamin baginya untuk meneruskan kehidupan keluarganya dengan lebih selesa berbanding keadaan sebelumnya.

Bagi Pon Ibrahim pula mengucapkan terima kasihnya yang tidak terhingga kepada pekrihatinan kerajaan negeri yang tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik.

"Inilah kerajaan yang bertanggungjawab yang menunaikan segala janjinya bagi meningkatkan taraf hidup golongan yang kurang bernasib baik ubtuk turut menikmati arus pembangunan yang pesat," katanya.

Selain itu empat buah lagi rumah PPRT di Klebang Kecil turut dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam semasa mengadakan lawatan kerja ke kawasan DUN Paya Rumput baru-baru ini.

Ketika lawatan itu juga Mohd Ali turut menyampaikan sumbangan kepada Zainab Yahya, Halijah Mohd, Temah Sidek dan Mail Seman yang layak menerima bantuan sejumlah RM250 sebulan.

 

Mingguan Melaka : 16 Sep - 22 Sep 2001. Issue 62

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 62 (16 Sep - 22 Sep 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner