| 1,OOO UNIT RUMAH KOS RENDAH
DIBINA DI LIMBUNGAN LIMBONGAN : Kerajaan negeri akan membina 1000 unit rumah kos rendah lagi di atas tapak tanah seluas 46 ekar di kawasan Limbongan. Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam berkata, kerajaan negeri berharap projek pembinaan rumah tersebut akan siap dalam tempoh masa dua tahun dari sekarang. Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah berjumpa dengan tuan tanah-tuan tanah bagi tujuan pengambilalihan tapak pembinaan rumah tersebut. "Tuan tanah telah diberi notis selama tiga bulan untuk buat bantahan dan sekiranya ada bantahan projek ini mungkin terpaksa dibatalkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan Kampung Limbongan. Menurutnya, kerajaan negeri telah menawarkan harga yang berpatutan kepada tuan tanah iaitu RM 4.50 satu kaki persegi. Mohd Ali berkata, pembinaan rumah kos rendah ini diharap akan dapat memberi peluang kepada lebih ramai penduduk di sini memiliki rumah terutama di kawasan yang pesat membangun seperti di Limbongan. "Tuan tanah boleh dapat semula rumah dengan membeli rumah tersebut apabila mendapat wang pembelian tanah daripada kerajaan negeri," katanya. Katanya, rumah tersebut akan dibina menggunakan konsep bertingkat iaitu empat unit di tingkat atas dan empat unit lagi di bahagian bawah memandangkan keadaan kawasan yang semakin sesak berhampiran dengan Bandar. "Saya berharap projek ini akan berjalan lancar dan semua yang terlibat dijangka mampu membeli rumah yang akan dibina ini dengan harga RM42,000 seunit," katanya lagi.
Mingguan Melaka : 16 Sep - 22 Sep 2001. Issue 62 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 62 (16 Sep - 22 Sep 2001) |
||