| MELAKA-AUTOPLUS : SKIM
PELINDUNGAN INSURANS PRODUK MELAKA BANDAR MELAKA : Pemilik kenderaan bermotor di negeri ini kini ditawarkan satu skim perlindungan insurans kenderaan baru, Melaka-Autoplus yang khusus memberikan pelindungan terbaik kepada pemilik kenderaan. Skim tersebut terhasil kerjasama anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) Permodalan Melaka Sdn Bhd, Sime Insurance Brokers Sdn Bhd, Amanah General Insurance Bhd dan Takaful Nasional Sdn Bhd. Pengurus Kumplan Permodalan, Mashitah Datuk Wira Ismail menjelaskan skim yang dilancarkan secara rasmi 10 September lepas itu membawakan pendekatan cermat, cepat, cekap serta mudah diterima oleh semua golongan masyarakat. Menurutnya, skim perlindungan itu juga menawarkan beberapa keistimewaan seperti tiada akses ke atas tuntutan insurans, tiada kadar tambahan, penerimaan NCB dengan segera sekiranya mempunyai Notis Pembaharuan atau Polisi Semasa selain khidmat nasihat percuma kepada para pemilik. "Melaka-Autoplus terbuka kepada semua pengguna kenderaan terutama kakitangan awam, ahli koperasi serta semua rakyat di negara ini secara amnya," jelas beliau kepada Mingguan Melaka di sini baru-baru ini. Mashitah juga menjelaskan mereka yang ingin memiliki skim ini diberi kebebasan untuk memilih skim perlidungan di bawah Amanah Insurans atau Takuful Nasional mengikut kemahuan masing-masing. Beliau menjelaskan semua panel bengkel yang disediakan adalah mereka yang berkelulusan dan diiktiraf oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berada di seluruh negeri ini, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor. Menurutnya, pelbagai promosi untuk memperkenalkan skim tersebut secara berperingkat dan sistematik akan mula dilaksanakan bagi memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kebaikan skim tersebut. Selain Melaka-Autoplus, Permodalan Melaka juga bersama Sime Insurans turut menwujudkan usahasama bistari bagi menawarkan perkhidmatan perlindungan kepada orang ramai bagi perlindungan harta benda, pekerja, kerugian tuntutan, kenderaan bermotor dan tanggungan. Bagi yang berminat untuk memperolehi maklumat yang lebih mendalam mengenai skim-skim perlindungan yang ditawarkan anda diminta mengunjungi pejabat Permodalan Melaka di tingkat empat, Bangunan Graha Maju.
Mingguan Melaka : 16 Sep - 22 Sep 2001. Issue 62 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 62 (16 Sep - 22 Sep 2001) |
||