Mingguan Melaka
     

SERANGAN KAMIKAZE GEGARKAN AMERIKA

Serangan kamikaze ala tentera Jepun pada perang dunia kedua telah mengejutkan Amerika Syarikat yang sering mendabik dada sebagai kuasa besar dunia - 'super world power'.

Dalam masa dua jam, negara yang juga terkenal dengan gelaran 'polis dunia' itu bukan sahaja kehilangan bangunan berkembar antara yang tertinggi di dunia malah kemusnahan yang amat ketara di bandar New York, Pentagon, kehilangan empat buah pesawat penumpang dan kesan mendalam terhadap ekonominya yang masih dilanda kemelesetan.Kerugian daripada serangan dianggarkan mencapai berbilion dollar.

Paling menyedihkan ialah angka kematian dalam tragedi rempuhan dua pesawat yang meranapkan sama sekali dua menara 110 tingkat Pusat Dagangan Dunia (WTC) 12 September lalu itu dijangka melebihi 10,000 orang.

Jangkaan itu berikutan laporan bahawa beribu-ribu orang dipercayai terperangkap dalam bangunan apabila pesawat merempuh dan meletup di menara berkembar tersebut sebelum kedua-dua struktur bangunan itu menyembah bumi satu demi satu.

Amerika Syarikat (AS) menyifatkan serangan itu sebagai yang terburuk dalam sejarahnya selepas serangan mengejut Jepun ke atas Pearl Harbor, Hawaii pada 1941. Serangan kamikaze Jepun yang mengorbankan lebih 2,000 orang itu turut menjadi punca tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Rempuhan pesawat Boeing 767 dan Boeing 757 pada pukul 8.56 pagi dan 9.14 pagi itu - hampir menyamai serangan kamikaze berkenaan.

Setakat ini para penyelamat di WTC sukar mengetahui secara tepat berapa ramai daripada 40,000 orang yang bekerja di 430 firma di bangunan itu terperangkap di bawah runtuhan tersebut. Purata setiap hari sebanyak 10,000 orang melawat ke menara ketiga tertinggi di dunia itu.

Sementara itu, 'suspect' utama Amerika, Osama bin Laden telahpun menafikan penglibatannya dalam kejadian tersebut walaupun dia memuji dan berterima kasih kepada penyerang berani mati berkenaan.

Osama dikehendaki oleh Washington untuk dibicarakan berhubung kejadian pengeboman dua kedutaan Amerika Syarikat di timur Afrika pada Ogos 1998 yang mengorbankan 224 mangsa termasuk 12 rakyat AS.

Pemerintah Taleban bagaimanapun enggan menyerahkannya walaupun berhadapan dengan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Amerika Syarikat kini menerima padah daripada dasar dan tindakan mereka yang sering dikatakan mencampuri urusan negara lain.

Malah tindakan Amerika yang sering pro-Israel, anak emasnya sering menerima kritikan khususnya dari dunia Arab. Sokongan Amerika itu telah menyebabkan Israel tidak gentar untuk melakukan tindakan keganasan dan pembunuhan ke atas rakyat Palestin walaupun dikecam oleh masyarakat antarabangsa.

Serangan kamikaze ini ternyata mengejutkan Amerika yang sering mendabik dada bahawa mereka dilengkapi sistem pertahanan dan keselamatan yang canggih yang mampu menahan sebarang bentuk ancaman.

Kini terbukti sistem pertahanan Amerika syarikat itu ada kelemahannya. Negara kuasa besar dunia itu boleh diancam hanya dengan kapal terbang penumpang mereka sendiri yang dirampas.

Diharapkan serangan ini dapat membuka mata Presiden Amerika Syarikat agar mengkaji semula dasar-dasarnya khususnya berkaitan negara-negara di Timur Tengah, Iraq dan Afrika.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Mohd Ali Rustam ketika mengulas kejadian ini berharap Amerika Syarikat tidak bertindak melulu dengan melancarkan serangan ke atas kedudukan-kedudukan atau negara yang mungkin didakwanya mempunyai hubung kait dengan serangan berkenaan.

Tambah beliau sebarang dasar Amerika selepas serangan berkenaan hendaklah berasaskan tolak ansur, bukti yang kukuh dan bukannya atas dasar balas dendam.

"Sebarang tindakan keganasan adalah bertentangan dengan prinsip keamanan, lebih lebih lagi apabila mengancam keselamatan orang awam," katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap di Malam Mesra Bersama Wartawan Melaka di Ayer Keroh.

Dalam serangan ke atas bangunan WTC itu, lebih 300 anggota bomba turut hilang dan 259 anggota pasukan beruniform lain termasuk polis gagal dikesan.

Di Pentagon, Washington pula, pihak penyelamat menganggarkan angka kematian berjumlah 800 orang membabitkan anggota tentera dan petugas awam serta penumpang pesawat yang merempuh bangunan Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat (AS), yang menempatkan 20,000 orang pekerja.

Satu-satunya angka kematian yang sah dan pasti adalah yang dikeluarkan oleh dua syarikat penerbangan selepas mereka kehilangan empat pesawat membawa keseluruhan 266 penumpang dan anak kapal.

Kira-kira 2,000 pekerja penyelamat dikerah dan semua 170 hospital di kawasan New York diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi merawat mereka yang cedera.

 

Mingguan Melaka : 16 Sep - 22 Sep 2001. Issue 62

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 62 (16 Sep - 22 Sep 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner