Mingguan Melaka
     

MPMBB Intai Kejuaraan

HANYA satu lagi halangan yang memisahkan skuad hoki remaja Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB) untuk bergelar "Juara" setelah memperlihatkan aksi yang membanggakan di saingan separuh akhir.

Kemenangan 1-0 di gelanggang sendiri dan 2-1 di gelanggang lawan membuktikan kebangkitan MPMBB dengan mengenepikan cabaran Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Apapun, cabaran di peringkat akhir tidak boleh dipandang ringan kerana Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) yang mengenepikan Anderson juga mempunyai matlamat yang sama iaitu mahu menjadi juara.

Terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi segera sebelum MPMBB beraksi di saingan akhir nanti iaitu memanfaatkan sepenuhnya pukulan sudut penalti kerana di sinilah peluang menjaringkan gol.

Walaupun MPMBB merupakan pasukan yang paling banyak menerima pukulan sudut penalti sepanjang liga berlangsung, namun masih belum dapat mengatasi masalah itu, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan Piala Liga bertapak di negeri bersejarah ini.

MPMBB pernah menjinakkan MPPJ di peringkat liga, namun ukuran itu tidak seharusnya menjadikan pemain MPMBB begitu yakin kerana saingan di peringkat akhir pasti menyajikan rentak yang berbeza.

Ketahanan mental juga memainkan peranan dalam menghadapi cabaran di peringkat akhir kerana sebarang faktor suasana boleh mempengaruhi permainan atau rentak yang boleh membawa padah.

Pada 27 Mei ini bertempat di Stadium Hoki Bukit Jalil merupakan penentuan kepada MPMBB bagi memartabatkan maruah sukan hoki Melaka yang mula bangkit setelah sekian lama malap.

Bangkit MPMBB...pastikan kejuaran milik kita, Melaka Boleh, MPMBB Boleh !

 

Mingguan Melaka : 27 May - 2 Jun 2001. Issue 46

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 46 (27 May - 2 Jun 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner