Mingguan Melaka
     

SEMAN DAN NYACHIK TOKOH GURU

JASIN : Dua orang guru bersara Seman Deros dan Nyachik Bahari terpilih sebagai Tokoh Guru Melaka tahun 2001 bagi menghargai jasa serta sumbangan mereka di dalam menjayakan profesion perguruan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam berkata para guru hendaklah mempunyai personaliti serta kekuatan minda bagi memenuhi aspirasi profesion perguruan bagi memenuhi kehendak individu, masyarakat dan negara.

Beliau berkata, para guru hendaklah memainkan peranan yang aktif memperbaiki taraf serta imej para guru bagi mengembalikan penghormatan masyarakat terhadap golongan ini.

"Saya menyeru para warga pendidik supaya bersama bergabung tenaga membina kecemerlangan pendidikan negara," tegas beliau semasa merasmikan majlis Perayaan Hari Guru Negeri Melaka 2001 baru-baru ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Long Md. Said.

Seman Deros, 59, dilahirkan di Kampung Serkam mendapat pendidikan hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebagai calon persendirian.

Beliau yang mendapat latihan perguruan di Pusat Latihan Guru Jalan Gurney pernah berkhidmat di beberapa buah sekolah rendah dan menengah serta pernah menjawat jawatan sebagai guru penolong kanan sebelum dilantik sebagai guru besar dan pengetua.

Pada 1992, beliau dilantik pula sebagai Penyelia Kanan Pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah Jasin sehingga hari persaraan beliau pada 29 Ogos 1997.

Nyachik Bahari, 71 mendapat pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Padang Sebang pada tahun 1937 sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab perguruan Perempuan Melayu Melaka (MPPM).

Beliau pernah berkhidmat di Sekolah Umum Sungai Petai dan Sekolah Umum Ganun hingga akhirnya bersara pada tahun 1985. Walaupun telah bersara beliau tetap memberikan khidmat bakti kepada masyarakat menerusi aktiviti kebajikan yang dianjurkan dari masa ke semasa.

 

Mingguan Melaka : 27 May - 2 Jun 2001. Issue 46

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 46 (27 May - 2 Jun 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner