Mingguan Melaka
     

JETI BARU UNTUK NELAYAN

BANDA HILIR : Kerajaan negeri sedang mengkaji cadangan sari sebuah syarikat bagi membina sebuah jeti pendaratan ikan di kawasan tebing Sungai Melaka berhampiran Taman Kota Laksamana di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Ibrahim Durum berkata, setakat ini, dua jeti pendaratan ikan telag beroperasi iaitu di Kuala Linggi dan Telok Gong bagaimanapun kedudukannya agak jauh.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi oleh golongan nelyan terutama untuk memunggah hasil tangkapan dan pasaran.

Menurutnya, tidak ada gunanya jeti yang mempunyai kelengkapan moden dan canggih tetapi berada di kawasan yang jauh dan menyukarkan untuk memasrkan hasil tangkapan golongan nelayan.

"Kerajaan negeri sentiasa memantau masalah yang sering dihadapi oleh golongan nelayan khususnya kemudahan tempat pendaratan ikan yang terlalu kurang dan terpinggir kerana pembangunan fizikal yang pesat," katanya.

Ibrahim berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian pampasan kepada nelayan kerana tumpahan minyak akibat pelanggaran kapal di Selat Singapura empat tahun lalu.

Beliau berkata, langkah mewujudkan jeti pendataran itu kerana keadaan kemudahan yang sedia ada sekarang kurang memuaskan dan berharap semua nelayan memberi kerjasama untuk menjayakan usaha itu.

Menurutnya, sebuah syarikat telah mengemukakan cadangan untuk mengendalikan tempat pendaratan ikan dengan kelengkapan yang moden serta terlindung daripada ombak besar.

"Tempat pendaratan ikan yang baru terpaksa dicari memandangkan kawasan pendaratan yang sedia ada terlalu jauh dan sebab itulah kerajaan negeri mencadangkan sebuah kawasan di Taman Kota Laksamana dimajukan sebagai alternatif baru walaupun kosnya agak tinggi," katanya.

Setakat ini, Kawasan Melaka Barat mempunyai dua pusat pendaratan ikan yang terbaik iaitu di Kuala Linggi yang bernilai RM2.2 juta dan di Teluk Gong (RM3.5 juta) bagaimanapun masih tidak dapat menampung keperluan.

 

Mingguan Melaka : 27 May - 2 Jun 2001. Issue 46

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 46 (27 May - 2 Jun 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner