| EKONOMI NEGARA DIJANGKA
PULIH EKONOMI negara dijangka pulih seperti sediakala menjelang hujung akhir tahun ini atau selewat-lewatnya pertengahan tahun hadapan memandangkan perkembangan ekonomi negara yang tidak terjejas teruk berikutan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat kerana ia lebih melibatkan sektor pembuatan. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Kerk Choo Ting berkata, jumlah nilai eksport tahun ini juga dijangka meningkat kepada RM400 billion berbanding RM373 billion tahun lepas. Beliau berkata, perkembangan ekonomi yang pelbagai di negara ini tidak banyak terjejas dengan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan dunia kerana kelembapan tersebut melibatkan sektor pembuatan. "Ekonomi Malaysia berkembang dalam pelbagai sektor seperti perlombongan, pembinaan, pertanian dan teknologi maklumat...sektor pembuatan hanya menyumbang 35 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya. Beliau berkata selepas majlis penyerahan tangki mengandungi gas LPG seberat 8.12 ton dengan diameter 8.1 meter dan sepanjang 72 meter di kilang KNM Steel di sini baru-baru ini. Kerk menjelaskan sektor pembuatan mempunyai banyak bahagian seperti elektrikal, tekstile, petrokimia termasuk semi-konduktor yang tidak banyak terjejas dengan kelembapan berkenaan. "Kesan yang berlaku adalah pada sektor semi-koduktor yang hanya merupakan 20 peratus dalam bidang pembuatan negara, bagaimanapun Malaysia kini ke arah pemulihannya," katanya. Mengenai pemberhentikan pekerja dalam sektor pembuatan beliau menjelaskan ia tidak banyak berlaku dan menjejaskan kerana sesetengah kilang yang terlibat sedang menjalankan penstrukturan semula operasi mereka di negara ini. Menurutnya, melalui aktiviti ini kilang yang terlibat mampu mengembangkan lagi pelaburannya kepada RM800 juta dalam masa terdekat bagi menjadikan negara ini lokasi pengeluaran utama barangan mereka.
Mingguan Melaka : 27 May - 2 Jun 2001. Issue 46 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 46 (27 May - 2 Jun 2001) |
||