Mingguan Melaka
     

KEMBARA RUMPUN MELAYU 16 JUN

KEMBARA RUMPUN MELAYU

PALEMBANG (Indonesia) - Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, bagi merealisasikan hubungan antara rumpun Melayu,, kerajaan negeri yang telah dipilih sebagai Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) telah merancang berbagai program antaranya termasuk Kembara Rumpun Melayu.

Katanya, tiga program pelayaran akan diadakan pada tahun ini dan satu lagi pelayaran akan diadakan pada tahun hadapan dalam usaha kerajaan negeri menggalakkan warga serumpun khususnya belia supaya menjalin hubungan yang lebih akrab melalui lawatan dengan menaiki kapal tersebut.

Beliau memberitahu, pelayaran pertama akan dikenali sebagai Jejak Parameswara iaitu pelayaran dari Melaka Ke Palembang selama lapan hari mulai 16 Jun ini. Manakala "Jejak Kesultanan Melayu Melaka Ke Riau pula akan diadakan pada Julai ini,

"Jejak Ke Acheh pula akan diadakan sempena pertemuan pemuda dan budayawan serumpun dari 7 hingga 10 September," kata Mohd. Ali dalam ucaptamanya pada Lokakarya Dunia Melayu Dunia Islam di Palembang di sini.

Lebih 200 peserta mengambil bahagian dalam bengkel empat hari dan majlis perasmian bengkel tersebut telah dilakukan oleh Gabenor Sumatera Selatan, Rosihan Arsyad. Yang DiPertua Negeri, Tun Syed Ahmad Shahbuddin juga hadir pada bengkel tersebut.

Mohd. Ali berkata, Jejak Majapahit dari Melaka ke Pulau Jawa-Makasar dan Borneo dirancang untuk dilaksanakna pada tahun hadapan.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat berkenaan berkata, jejak tersebut bertujuan memberi galakan kepada warga serumpun Melayu untuk melawat dan mengeratkan perhubungan antara negeri-negeri di Malaysia dengan wilayah-wilayah di Indonesia.

Sementara itu, kata, bagi mengadakan program pembangunan dua hala pula, kerajaan negeri Melaka bercadang membangunkan Perkampungan Hang Tuah sepanjang lima kilometer di Muara Sungai Duyung.

Kerajaan merancang untuk mewujudkan Zom Rumpun Melayu di perkampungan tersebut dan akan mempamerkan rumah-rumah serta suasana di wilayah-wilayah Indonesia di sekitar perkampungan tersebut.

Melalui projek ini, katanya, festival-festival bagi setiap wilayah Indonesia ini boleh dianjurkan oleh kerajaan negeri bagi mempertingkatkan hubungan dalam bidang pelancongan dan pada masa yang sama kerajaan negeri akan terus menjalinkan hubungan yang lebih rapat dengan kerajaan Wilayah Sumatera Selatan khususnya dalam bidang sosio-budaya, perdagangan dan ekonomi.

Katanya, hubungan antara kedua-dua negara sebelum ini memang sudah terjalin erat melalui pelaburan dalam bidang peladangan kelapa sawit dan getah oleh syarikat Guthrie Berhad dari Malaysia di Palembang yang terletak di wilayah berkenaan.

"Bengkel yang diadakan hari ini diharap dapat mempertingkatkan hubungan sosio budaya dan perdagangan antara Melaka dan Sumatera Selatan. Ia juga diharap dapat mewujudkan beberapa resolusi khusus yang dapat dilaksanakan dengan segera bukan sahaja oleh kerajaan kedua-dua negeri tetapi juga pihak swasta,'' katanya.

 

Mingguan Melaka : 27 May - 2 Jun 2001. Issue 46

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 46 (27 May - 2 Jun 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner