Mingguan Melaka
     

MAFA ANJUR KEJOHANAN GOLF

PERSATUAN Bola Sepak Melaka (MAFA) akan menganjurkan Kejohanan Golf Sumbangsih MAFA 2001 pada 7 April ini bertempat di Ayer Keroh Country Club (AKCC) di sini.

Setiausaha Kehormat MAFA, Hahi Salleh berkata, kejohanan itu bertujuan bagi mengisi tabung MAFA bagi menghadapi pertandingan Liga Bola Sepak Perdana Satu musim ini.

Beliau berkata, pertandingan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori Korporat yang melibatkan dua peserta manakala Kategori Individu iaitu orang perseorangan.

Menurutnya, bagi kategori korporat bayaran dikenakan sebanyak RM1,000 (untuk dua orang) manakala RM 300 bagi kategori individu sementara itu bagi penajaan pula RM5,000 ke atas akan diberikan satu flight.

"Bagi kategori individu penyertaan hanya dihadkan kepada 150 peserta sahaja dan tarikh tutup penyertaan pada 2 April ini," katanya di sini baru-baru ini.

Hahi berkata, mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan itu boleh menghubungi MAFA di talian 06-293 4008 atau 283 6452 untuk keterangan lanjut.

Beliau berkata, MAFA juga akan menerbitkan buku cenderanata dan berharap pihak korporat, syarikat, kilang atau individu dapat menghulurkan sumbangan dalam bentuk iklan.

Menurutnya, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan ahli-ahli majlis FAM antara tetamu yang akan memeriahkan kejohanan berkenaan.

 

Mingguan Melaka : 18 Mar - 24 Mar 2001. Issue 36

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 36 (18 Mar - 24 Mar 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner