Mingguan Melaka
     

KUNJUNGAN BALAS DATUK BANDAR VANCOUVER

AYER KEROH : Kunjungan balas delegasi Datuk Bandar Vancouver Utara selama sehari ke negeri ini Khamis lepas dilihat sebagai makum balas positif promosi pelancongan yang dijalankan secara giat oleh kerajaan negeri bagi menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam ketika ditemui semasa sesi kunjungan berkenaan berkata kerajaan negeri sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong serta delegasi mereka ke negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap untuk menambah jumlah pelancong ke negeri ini setiap tahun dan pelbagai aktiviti promosi giat dijalankan bagi memastikan matlamat itu tercapai.

Menurutnya, kunjungan Datuk Bandar, Don Bell dan delegasinya membolehkan kedua-dua negeri bekerjasama dan bertukar kemahiran terutama di bidang teknologi maklumat (IT).

"Kita akan menimbangkan untuk mengkaji supaya pengurusan Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB) mempraktikan penggunaan sistem IT dalam perkhidmatannya seperti yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Vancouver Utara," katanya.

Sebagai contoh, Mohd. Ali berkata penggunaan visual, pembayaran lesen secara bijak menggunakan kad ATM, pengurusan sisa pepejal dan rawatan air.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kajian perlu dilakukan terlebih dahulu mengenai tahap kesesuaian sebelum boleh dipraktikan sepenuhnya.

Don Bell dan delegasinya seramai 10 orang akan dibawa melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah yang menjadi tumpuan pelancong seperti di Perkampungan Portugis, Jonker Walk, Kampung Morten dan beberapa buah muzium.

 

Mingguan Melaka : 18 Mar - 24 Mar 2001. Issue 36

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 36 (18 Mar - 24 Mar 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner