Mingguan Melaka
     

MITC PEMANGKIN SEKTOR INDUSTRI

BANDA HILIR : Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan memainkan peranan yang lebih besar kepada pembangunan sektor industri di negeri ini apabila bangunannya sendiri siap dibina di Ayer Keroh.

Malahan bangunan yang akan didirikan di kawasan pembangunan seluas 76 hektar itu juga akan menjadi mercu tanda di bandar baru berkenaan.

"Bangunan MITC di kawasan projek pembangunan bercampur itu akan mengandungi pelbagai kemudahan termasuk pusat perniagaan khas mengikut jenis barangan jualan. Ia juga akan dibangunkan dengan infrastruktur yang lengkap dan lanskap termoden," kata Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam dalam teks ucapannya di majlis minum petang bersama ahli-ahli MITC baru-baru ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Setiusaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusof.

Tambah beliau, bangunan MITC yang dijangka siap pada tahun 2003 itu mempunyai reka bentuk futuristik dengan ruang pameran yang luas untuk pelbagai jenis pameran sama ada bertaraf tempatan mahupun antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai pengeluar-pengeluar tempatan menjadi ahli MITC dan mempamerkan produk mereka di ruang pameran MITC yang ketika ini bertempat di Graha Umno.

Menurutnya, ketika ini penyertaan mereka adalah kurang memberangsangkan kerana hanya 75 pengeluar atau kira-kira 15 peratus daripada sejumlah 496 pengeluar yang beroperasi di Melaka, menyertai pameran berkenaan.

"Kerajaan negeri amat komited dalam membangunkan MITC kerana ia adalah pemangkin kepada pembangunan sektor industri di negeri ini," katanya.

Berikutan itu Mohd. Ali berkata, kerajaan negeri bersetuju mengurangkan harga sewa tahunan ruang pameran di MITC sebanyak 25 peratus.

Kerajaan negeri juga katanya, akan mempergiatkan usaha promosi untuk memastikan ruang pameran berkenaan dapat memainkan peranan yang lebih menguntungkan kepada pengeluar.

Sehingga Disember tahun lepas, pameran sementara MITC itu sentiasa menerima kunjungan pelabur asing seperti dari Singapura, Taiwan, Jepun, Indonesia, Afrika dan Timur Tengah selain pelabur tempatan.

Di majlis itu, MITC menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada pengeluar-pengeluar yang menjadi ahli MITC.

Dua daripada 75 buah syarikat pengeluar terbabit, Kimble Furniture Corporation Sdn. Bhd. Orang Kampung Drinks Sdn. Bhd. telah dipilih menerima anugerah khas kerana sokongan padu mereka kepada MITC.

Penurunan harga sewa ruang pameran di MITC

Tarikh : Mulai Jun atau Julai 2001

Harga lama

Harga baru
(Potongan 25%)

RM6,000
RM4,000
RM3,000
RM2,000

RM4,500
RM3,500
RM2,250
RM1,500

 

Mingguan Melaka : 18 Mar - 24 Mar 2001. Issue 36

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 36 (18 Mar - 24 Mar 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner