| LAGI JALAN SEHALA DI BANDAR
MELAKA BANDAR MELAKA : Kerajaan negeri bercadang untuk menukar arus perjalanan di jalan utama di kawasan Bandar Melaka dari bulatan Bukit China, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Hang Tuah dan Jalan Bachang menjadi jalan sehala. Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata perlaksanaan jalan sehala itu bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalulintas terutama di dalam kawasan bandar. Bagaimanapun, beliau memberitahu, perubahan itu perlu mendapat "fit back" daripada ornag ramai, peniaga dan pengusaha teksi terlebih dahulu sebelum perlaksanaan itu dilakukan. Menurutnya, jalan sepanjang kira-kira 3 kilometer itu bermula dari bulatan di Bukit China menuju ke sepanjang Jalan Munshi Abdullah, Jalan Hang Tuah dan berakhir di persimpangan lampu isyarat Bachang bersebelahan Lee Rubber. "Orang ramai terutama para peniaga di sepanjang jalan berkenaan diminta mengemukakan pandangan mereka kepada kerajaan negeri mengenai perlaksanaan jalan sehala itu," katanya di sini baru-baru ini. Mohd. Ali berkata, bagi melaksanakan jalan sehala itu benar-benar berkesan pembahagi jalan yang terdapat di sepanjang jalan terbabit akan dihapuskan. Beliau berkata, ini secara tidak langsung menjadikan jalan terbabit mempunyai empat lorong yang pastinya dapat mengelakkan kesesakan di samping melancarkan arus lalu lintas. Sehingga kini, menurutnya, kerajaan negei belum menetapkan tarikh yang sebenar bagi melaksanakan jalan sehala berkenaan kerana masih menunggu maklum balas daripada orang ramai. "Kerajaan negeri berharap orang ramai dapat memberikan pandangan mereka supaya apabila perlaksanaan jalan sehala itu akan memberikan kesan yang mengembirakan kepada semua pihak," katanya. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd. Ali berkata apabila Jalan Persisiran pantai boleh digunakan kelak iaitu menjelang Jun ini sepanjang Jalan Merdeka ke bangunan Studhuys akan menjadi sehala. "Ini akan memudahkan pengguna jalan raya dari kawasan Taman Melaka Raya di Banda Hilir ke kawasan Jonker Walk dan ke bandar Melaka," katanya. Beberapa batang jalan di kawasan bandar Melaka telah berubah menjadi jalan sehala iaitu di Jalan Taman Melaka Raya, Jalan Banda Hilir, Jalan Bukit Senjuang, Jalan Tan Chay Yan dan Jalan Kubu sejak Mohd. Ali dilantik menjadi Ketua Menteri.
Mingguan Melaka : 18 Mar - 24 Mar 2001. Issue 36 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 36 (18 Mar - 24 Mar 2001) |
||