| 10,000 PELANCONG TIMUR
TENGAH KE MELAKA BANDA HILIR : Kerajaan negeri meletakkan sasaran lebih 10,000 pelancong dari Timur Tengah akan berkunjung ke Melaka melalui promosi pelancongan yang akan diadakan di sana. Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, promosi berkenaan adalah usaha kerajaan negeri bagi mencapai sasaran untuk menarik 400,000 lagi pelancong baru dan menjadikan sejumlah 2.5 juta pelancong datang ke Melaka sepanjang tahun ini. Beliau berkata, antara negara-negara Timur Tengah yang telah dikenal pasti di dalam siri rombongan promosi pelancongan yang bermula pada Jun sehingga Ogos ini ialah Arab Saudi, Mesir dan Jordan. Menurutnya, satu pertemuan akan diadakan melibatkan pengusaha agensi pelancongan di negara-negara berkenaan supaya pakej melancong ke negara ini menyenaraikan Melaka Melaka sebagai salah satu destinasi pelancongan selain Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Langkawi. "Memandangkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka tidaklah jauh sangat kira-kira satu jam setengah sahaja sebaiknya Melaka dapat disenaraikan sebagai destinasi pelancongan dalam pakej yang ditawarkan," katanya. Beliau berkata demikian selepas larian amal kedua Kumpulan Hong Leong yang diadakan di Padang Pahlawan di sini baru-baru ini. Sempena larian itu Mohd. Ali turut menyerahkan sumbangan Yayasan Hong Leong RM15,000 kepada Persatuan Thalassema Melaka dan Rumah Selvation Army, RM20,000 kepada Pusat Pendidikan Autisme serta RM30,000 Rumah Kebajikan Fatima. Mohd. Ali berkata Timur Tengah merupakan pasaran pelancongan baru bagi Melaka selepas mengadakan promosi pelancongan di London (United Kingdom), Itali, Berlin (Jerman), Australia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand. Beliau berkata, Melaka mempunyai pelbagai produk pelancongan yang mampu menarik minat pelancong-pelancong dari negara-negara Timur Tengah untuk datang ke negeri ini. Menurutnya, pelancong-pelancong dari Timur Tengah berpeluang untuk mengetuai kesan sejarah perkembangan syiar Islam di negeri ini di samping melawati muzium Islam,masjid lama selain membeli-belah. "Melaka juga mempunyai hubungan pendidikan dengan Timur Tengah melalui program berkembar pendidikan dengan Universiti Jordan dan Universiti Al-Azhar di Mesir," katanya. Mohd. Ali juga berkata, pelancong-pelancong juga berpeluang melawati institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang terdapat di Melaka bagi menghantar anak-anak mereka belajar di sini di samping kemudahan perkhidmatan perubatan yang moden.
Mingguan Melaka : 18 Mar - 24 Mar 2001. Issue 36 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 36 (18 Mar - 24 Mar 2001) |
||