Mingguan Melaka
     

WUJUD SEMULA SEMANGAT KEKAMPUNGAN

BUKIT PALAH : Bagai aur dengan tebing…yang sentiasa memerlukan di antara satu dengan lain. Sehubungan dengan itu penduduk kampung diseru mewujud dan mengembalikan semula semangat kekampungan, supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan harmoni serta aman damai.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan negeri (Jeperun) kawasan Bachang, Datuk Chua Peng Song berkata, dengan mewujudkan kembali semangat kekampungan, masyarakat dapat mengerakkan pelbagai aktiviti untuk memajukan kampung halaman mereka sendiri.

"Sebenarnya semangat kekampungan telah wujud sejak dulu lagi sehingga mendatangkan hasil dan manfaat, antaranya dapat melahirkan masyarakat penyayang, terjalinnya semangat muhibah dan perpaduan, bantu membantu dalam menggerakkan pelbagai aktiviti," katanya.

Bagaimanapun semangat yang sedemikian menurut Chua pada masa sekarang semakin longgar dan terhakis, ini kerana perbezaan fahaman politik, menyebabkan kampung halaman tidak terurus dan timbulnya berbagai masalah sehingga meretakkan hubungan.

"Kerana itu marilah kita bersama-sama bergading bahu, untuk menggilap semula semangat kekampungan dengan slogan muafakat membawa berkat dan mengenepikan perkara-perkara yang remeh-temeh untuk kepentingan bersama," katanya.

Chua berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Majlis Gotong-Royong di kampung Solok Balik Bukit di sini baru-baru ini anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulau Kepala / Batu Hampar dan Cawangan Umno Batu Hampar.

Program itu juga turut mendapat kerjasama dari Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB) dan Southern West Management (SWM) Sdn. Bhd. Kira-kira 300 penduduk meyertai majlis gotong-royong itu.

 

Mingguan Melaka : 18 Mar - 24 Mar 2001. Issue 36

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 36 (18 Mar - 24 Mar 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner