AYER KEROH : Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menerima dua buah beca sumbangan kerajaan negeri sempena pameran "Malaysia Truly Asia Travel Fair Roadshow" yang akan berlangsung di New Zealand dan Australia bermula Mac ini. Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata beca itu yang akan ditempatkan di pejabat MAS di kedua-dua negara itu adalah sebagai produk promosi pelancongan bagi memperkenalkan negeri ini sebagai destinasi percutian. Menurutnya, secara tidak langsung ia juga dapat memasar dan menjual produk "MAS Melaka Golden Holidays Pakages" melalui pejabat-pejabat MAS di New Zealand dan Australia. "Kita berjaya mencapai jumlah 3,279 orang pelancong dari New Zealand dengan peningkatan 7.1 peratus dari tahun sebelumnya dan 12,280 orang Australia dengan peningkatan 7.2 peratus ini satu pencapaian yang agak baik," katanya. Beliau memberitahu pameran di lima lokasi iaitu Auckland, Sydney,Melbourne, Brisbane dan Perth itu dianjurkan oleh MAS dan Pelancongan Malaysia dengan kerjasama kerajaan negeri turut menyediakan gerai pameran, seminar, persembahan kebudayaan dan penjualan pakej percutian. Mohd. Ali berkata, beca Melaka akan diberi penghormatan mengetuai perarakan utama sempena Festival Asia 2001 di Auckland yang mana turut disertai oleh 20 buah negara asing.
Mingguan Melaka : 18 Mar - 24 Mar 2001. Issue 36 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 36 (18 Mar - 24 Mar 2001) |
||||