Mingguan Melaka
     

LAGI PENDATANG TANPA IZIN DITAHAN

BANDA HILIR : Pasukan Gerakan Am (PGA) negeri ini menahan seamai 113 orang pendatang tanpa izin dalam beberapa siri Ops Nyah I sejak dimulakan awal bulan lepas.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supt. Onn Ahmad berkata, dalam operasi yang dijalankan baru-baru ini bersama beberapa agensi yang berkaitan, seramai 36 pendatang tanpa izin ditahan berdekatan perhentian bas di pusat bandar kira-kira jam 3 petang.

Beliau memberitahu, pendatang tanpa izin yang berumur antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ketika diperiksa oleh anggota PGA dalam operasi berkenaan.

Minggu lepas, menurutnya, PGA juga memberkas seramai 59 orang pendatang tanpa izin di kawasan tapak pembinaan di Tiang Dua ketika sedang bekerja dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati mereka tidak mempunyai permit kerja yang sah.

"Polis juga menahan seramai 18 orang pendatang tanpa izin dalam operasi berasingan yang dilakukan sejak awal bulan ini," katanya di sini baru-baru ini.

Onn berkata, kesemua 113 orang pendatang tanpa izin yang ditahan pada bulan ini akan dihantar ke pusat tahanan sementara Imegresen di Machap Umboo, Alor Gajah sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Beliau berkata, sehingga kini, pusat berkenaan menampung seramai 3,353 orang pendatang tanpa izin walaupun sebelum ini hanya boleh menampung seramai 2,000 orang sahaja.

Sehubungan itu, Onn berkata operasi akan diteruskan dari masa ke semasa terutama di sekitar kawasan pantai dan projek pembinaan bagi memastikan rakyat asing yang berada di negeri ini mempunyai dokumen perjalanan atau pemit kerja yang sah.

 

Mingguan Melaka : 11 Mar - 17 Mar 2001. Issue 35

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 35 (11 Mar - 17 Mar 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner