Mingguan Melaka
     

LADANG BUAH-BUAHAN TROPIKA DI BRISU

BANDAR MELAKA : Kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan seluas 120 hektar di Brisu, Alor Gajah untuk memajukan sebagai taman buah-buahan tropika.

Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, setakat ini, sebuah syarikat Bumiputera tempatan menyatakan minat untuk melaksanakan projek berkenaan dengan kerjasama kerajaan negeri tidak lama lagi.

Menurutnya, rancangan mewujudkan kawasan tanaman buah-buahan itu diperolehi ketika mengadakan lawatan selama empat hari ke ladang tropika di Brisbane, Australia baru-baru ini.

"Ladang seluas 80 hektar itu akan ditanam dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan tropika selain taman mini safari yang menempatkan beberapa spesis hidupan liar termasuk itik air," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis korban berkelompok anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Kota Melaka dan Gerakan Belia 4B Kota Melaka di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu sebanyak 14 ekor lembu dikorbankan dan dagingnya diagih-agihkan kepada rumah anak yatim dan penduduk di sekitar bandar ini.

Mohd. Ali berkata, walaupun perbelanjaan bagi mewujudkan ladang di Brisbane itu berjumlah AUS$20 juta ( RM 44 juta ) termasuk kaedah pembangunan dan penyelidikan tetapi masih banyak ruang yang boleh diperbaiki jika dilaksanakan di negeri ini.

Beliau berkata, syarikat berkenaan akan melaksanakan projek itu dengan menggunakan perbelanjaan sendiri manakala kerajaan negeri akan menyediakan bantuan sokongan yang sesuai yang diperlukan oleh syarikat itu.

Menurutnya, jika projek itu dilaksanakan kos yang diperlukan tentunya lebih murah berbanding di Australia di samping iklim dan suhu yang turut memainkan peranan akan memudahkan pokok buah-buahan ditanam tanpa perlu menunggu musim yang sesuai.

"Kerajaan akan menyokong mereka melaksakan projek ini dan jika ada sebarang masalah terutama dari segi kewangan kita akan mencari cara lain untuk membantu mereka meneruskan projek ini," katanya.

Mohd. Ali memberitahu, perbezaan di antara ladang di negeri ini ialah dari segi keluasannya kerana di Brisbane keluasan kawasannya sekitar 80 jenis buah-buahan ditanam.

Beliau berkata, kos bagi melaksanakan projek itu dianggarkan berjumlah RM20 juta dan dijangka akan menjadi salah satu produkbaru pelancongan di negeri ini.

 

Mingguan Melaka : 11 Mar - 17 Mar 2001. Issue 35

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 35 (11 Mar - 17 Mar 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner