Mingguan Melaka
     

TAMAN IMPIAN HERBA DAN JATI

Taman impian herba dan jati

TAMAN Impian Herba dan Jati yang terletak kira-kira 45 km dari bandar Melaka memberikan ketenangan dan peluang untuk mengenali tumbuh-tumbuhan tempatan di samping menikmati suasana kampung yang semakin kurang dirasai akibat proses pemodenan.

Taman yang terletak di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah seluas 2.4 hektar mempunyai lebih 15,000 batang pokok tongkat ali dan diusahakan oleh Azis Tamby sejak setahun lalu.

Ia merangkumi tanaman jangka panjang dan jangka pendek di antara tanaman jangka panjang ialah tanaman pokok jati emas, kayu manis dan tongkat ali, manakala tanaman jangka pendek ialah sayur-sayuran, pisang dan juga nenas.

Taman Impian Herba dan Jati itu berkonsepkan empat kejayaan, "Sungai" untuk keindahan, "Tongkat Ali" untuk kesihatan dan "Kayu Manis" untuk penghijauan.

Tanaman tongkat ali yang diusahakan di taman itu adalah salah satu produk agro-pelancongan di negeri ini dan kira-kira 15,000 batang pokok tongkat ali telah ditanam secara tersusun dan sistematik di antara pokok jati emas.

Salah satu kegunaan kayu manis yang dihasilkan ditaman berkenaan ialah sebagai salah satu bahan campuran untuk menghasilkan aroma bagi minyak wangi, manakala kulitnya sebagai komponen penting dalam rempah ratus.

"Pokok jati emas boleh beri pulangan yang baik dan mendapat pasaran yang tinggi di peringkat antarabangsa dan negara barat yang mahukan kayu itu bagi pelbagai tujuan termasuk menghasilkan perabot," kata Azis.

Sungai yang terdapat di kawasan itu serta sebuah kolam boleh memberikan ketenangan kepada para pengunjung dan terdapat kira-kira 140,000 ekor ikan di kolam berkenaan termasuk ikan puyu, jelawat, haruan, talapia merah dan hitam.

Kedudukan muka bumi kawasan berkenaan yang berbukit membolehkan para pengunjung melihat kawasan itu dengan lebih indah dan dipenuhi dengan kehijauan. Orang ramai juga boleh melihat bunga tongkat ali yang mempunyai khasiat yang jarang diperkatakan.

Azis berkata, setakat ini lebih 6,000 orang pelawat telah mengunjungi taman itu dan rata-rata mereka berpuas hati setelah melihat tanaman serta menikmati suasana kampung yang mereka tidak pernah alami sebelum ini.

Beliau memberitahu, taman itu juga akan memperkenalkan konsep PPB iaitu pandu, petik dan bayar iaitu pengunjung boleh berkereta di dalam taman berkenaan dan memetik buah-buahan serta kemudian membayarnya.

Orang ramai yang ingin mengunjungi taman berkenaan boleh menghubungi talian 012-425 3085 / 013-620 3085 / 018-831 3085.

 

Mingguan Melaka : 11 Mar - 17 Mar 2001. Issue 35

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 35 (11 Mar - 17 Mar 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner