| TINGKATKAN PERKHIDMATAN DI
SEKTOR PERHOTELAN BANDAR HILIR : Pengusaha sektor perhotelan di negeri ini diingatkan supaya sentiasa menawarkan produk terbaik dan berkualiti dalam usaha memberikan kepuasan kepada pelanggan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Hamdin Abdollah berkata sehingga kini kerajaan negeri berpuashati dengan perkembangan sektor perhotelan di negeri ini. Beliau berkata, kerajaan negeri mensasarkan pertambahan jumlah sebanyak 20 peratus pelancong bagi tahun ini daripada angka 2.1 juta orang pelancong yang datang tahun lepas. "Kita berharap jumlah kedatangan pelancong meningkat sebanyak 20 peratus pada tahun ini kerana pelbagai usaha telah dilakukan bagi memajukan sektor pelancongan," katanya. Hamdin berkata demikian ketika berucap pada majlis menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Stamford College Melaka dengan Hotel Seri Costa dan Hotel Strait Meridian di sini. Dalam perkembangan yang sama beliau memberitahu kerja-kerja menaik taraf Tanjung Tuan akan dilakukan secepat mungkin yang bertujuan menawarkan produk baru kepada pelancong. Menurutnya, Tanjung Tuan mempunyai potensi yang baik untuk dibangunkan merangkumi tiga kategori utama iaitu sebagai kawasan hutan rekreasi, kawasan terumbu karang dan kawasan sejarah di rumah api zaman Belanda. "Usaha bagi menilai sama ada kawasan itu boleh dijadikan destinasi pelancongan akan dilakukan segera dan ia akan turut mengambilkira faktor persekitaran kerana kawasan berkenaan juga terkenal sebagai tempat berkumpulnya burung setiap bulan Mac," katanya.
Mingguan Melaka : 25 Feb - 3 Mar 2001. Issue 33 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 33 (25 Feb - 3 Mar 2001) |
||