| BELIA PERLU BERSEDIA HADAPI
K-EKONOMI AYER KEROH : Golongan belia di negeri ini diseru mengerakkan usaha-usaha aktif dalam menghadapi era K-ekonomi di samping menyesuaikan diri di dalam dunia teknologi maklumat yang membolehkan mereka memajukan diri dan negara di masa hadapan. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata ekonomi bentuk baru adalah rentetan globalisasi dan revolusi teknologi maklumat di mana pengetahuan serta kaedah penggunaan pengetahuan yang optimum dipentingkan. Berucap pada majlis perasmian Minggu Persefahaman, Perpaduan dan Pembangunan (MP3 2) di Universiti Multimedia di sini katanya, globalisasi, liberalisasi, teknologi komunikasi dan informasi mampu mengagalkan halatuju negara ini menjadi negara maju sekiranya tiada perancangan yang strategik bagi menangani masalah itu. Beliau berkata, tinjauan terhadap 10 institusi pengajian tinggi awam tahun lepas mendapati hanya 2.1 peratus daripada graduan berjaya mencapai tahap kelas pertama. "Dalam kita menghadapi cabaran era ekonomi baru, kita juga perlu melengkapkan diri dengan kekuatan jatidiri dan sistem nilai yang luhur," katanya. Hishamuddin berkata kekuatan dalaman boleh dijadikan benteng dan pedoman untuk melakukan perubahan terutama dalam menapis ledakan maklumat yang berterusan tanpa batasan. Menurutnya, kesedaran dan jatidiri golongan belia diperlukan kerana sebagai barisan pelapis dan pewaris kepada pemimpin hari ini mereka juga diharapkan untuk membangunkan negara ini di masa akan datang. Program MP3 2 itu yang dianjurkan oleh universiti berkenaan bermula 17 hingga 25 Februari lepas memuatkan pelbagai agenda menarik termasuk seminar, forum, malam kebudayaan, konsert nasyid dan acara sukan.
Mingguan Melaka : 25 Feb - 3 Mar 2001. Issue 33 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 33 (25 Feb - 3 Mar 2001) |
||