| KUPANG SEBATU: Kupang atau nama saintifiknya "perna canaliculus" adalah antara makanan laut yang cukup di gemari oleh masyarakat di negara ini kerana selain rasanya yang enak ia juga mudah didapati dan murah harganya. Makanan laut itu tidak memerlukan kos yang besar untuk memeliharanya tetapi ia memerlukan masa selama kira-kira setahun untuk matang dan boleh ditangkap serta dihidangkan. Nelayan yang menternak kupang hanya perlu melepaskan tali panggar yang dijalin ke dalam laut dan dalam masa seminggu benih-benih kupang akan mula bersarang dan membesar di tali berkenaan. Nelayan di pengkalan nelayan di sini rata-rata bergantung hidup melalui pendapatan hasil dari menternak kupang memulakan kerja-kerja mengutip hasil tangkapan seawal jam 7 pagi. Kupang yang telah dinaikkan mengikut jumlah yang dikehendaki pembeli itu kemudian dipisahkan dari tali panggar dan dibersihkan terlebih dahulu sebelum diedar atau dijual kepada peraih. Seorang penternak kupang, Mohamad Sani, 38, berkata hasil jualan kupang adakalanya mencecah hingga empat ke lima tan bergantung kepada jumlah permintaan dan usia kupang yang dipelihara. Beliau berkata, jika kupang berkenaan masih belum matang ia tidak sesuai untuk dijual kerana selain kualiti yang rendah, saiz dan isinya juga kecil. "Kami hanya mengeluarkan kupang dari talinya mengikut jumlah yang dikehendaki oleh pembeli kerana jika berlebihan ia akan merugikan kerana kupang akan mati bila lama dikeluarkan dari air," katanya kepada Mingguan Melaka. Seorang lagi penternak, Md Sani Rabu, 37, menjelaskan beliau telah mula menternak kupang sejak sembilan tahun yang lepas dan pendapatan yang diperolehi hasil dari jualan kupang agak lumayan. Sekarang ini, menurutnya, satu panggar kupang mampu memuatkan antara lima hingga enam ribu ekor kupang pada satu-satu masa. "Setakat ini, hasil tangkapan kami agak banyak tetapi yang apa yang merunsingkan ialah di masa akan datang apabila Sungai Linggi dibuka sebagai pelabuhan tukar barang yang mengundang lebih banyak kapal besar...sudah pasti menjejaskan mata pencarian kami di sini," katanya. Beliau menjelaskan kupang adalah sejenis hidupan laut yang sangat sensitif pada persekitarannya dan pencemaran adalah antara faktor yang menyebabkan kepupusan hidupan itu. "Sekarang ini kupang senang diperolehi dan dijual pada harga RM2.50 sekilo tapi mungkin pada masa akan datang ia menjadi barang kawalan...kami para nelayan terpaksa mencari jalan lain untuk mencari rezeki," ujarnya.
Mingguan Melaka : 25 Feb - 3 Mar 2001. Issue 33 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 33 (25 Feb - 3 Mar 2001) |
||