| PENGUSAHA KOLAM TERNAKAN
TERIMA BENIH IKAN KAMPUNG TEHEL : Seramai 26 pengusaha kolam ternakan projek berkelompok yang mengikuti program pelancongan pertanian (agrotourism) di sini menerima lebih 24,000 benih ikan keli dan telapia merah. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Abdul kadir Daud berkata program itu merupakan projek bantuan Jabatan Perikanan negeri yang berfungsi sebagai agensi penggerak utama menjadikan Kampung Tehel sebagai anak angkat. Beliau memberitahu, jabatan itu membelanjakan lebih RM32,000 termasuk kira-kira RM3,880 bagi bantuan berupa benih ikan keli serta telapia merah kepada peserta projek berkenaan. Menurutnya, selain bantuan itu jabatan juga turut memberi sebanyak 244 guni bahan makanan ikan dan juga membaik pulih 24 buah kolam yang terbiar, pembinaan kolam rekreasi memancing dan system perparitan. "Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula turut sama memberikan bantuan dengan mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM6,000 untuk membaiki sistem pengairan yang membekalkan air ke kolam-kolam berkenaan," katanya selepas upacara melepaskan 18,800 benih ikan keli dan 5,300 benih ikan telapia. Hadir sama anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Ayer Panas, Chong Tam Onn, Pengarah jabatan Perikanan negeri, Johari Ramli dan Pengarah JPS negeri, Mat Rahim Ismail. Abdul Kadir berkata, benih ikan yang dilepaskan itu akan dapat dipungut hasilnya September depan dan kerajaan negeri bercadang untuk menganjurkan sambutan agrotourism di kampung itu sempena menangkap ikan di dalam kolam. Sehingga kini, beliau berkata, Kampung Tehel mempunyai beberapa produk agrotourism yang berpotensi untuk menarik kedatangan pelancong ke kawasan berkenaan jika semua jabatan atau agensi kerajaan yang terlibat melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Mingguan Melaka : 25 Feb - 3 Mar 2001. Issue 33 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 33 (25 Feb - 3 Mar 2001) |
||