Mingguan Melaka
     

BENGKEL TINGKATKAN KUALITI MELAKA DELIGHT

KAMPUNG KELUBI : Pelbagai program dan aktiviti dianjurkan bagi memberikan pendedahan dan maklumat kepada pengusaha mangga Melaka Delight bagi memperbaiki kualiti dan meningkatkan jumlah pengeluaran produk berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Ibrahim Durum berkata kesedaran dan ilmu mengenai kaedah penjagaan dan pengurusan mangga perlu disalurkan kepada pengusaha supaya mereka memperolehi hasil yang berlipat ganda.

Beliau berkata, Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8) memperuntukan sejumlah 300 hektar tanah untuk dimajukan bagi tanaman mangga Melaka Delight dan dianggarkan mampu menyumbang kira-kira RM100 juta setahun.

"Kualiti penting untuk membolehkan Melaka Delight dipasarkan hingga ke luar negara...hasil petani banyak yang bermasalah kerana kurang berpengetahuan dan diharapkan bengkel ini dapat membantu pengusaha memajukan diri," katanya semasa merasmikan bengkel peningkatan kualiti mangga Melaka Delight di sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita, Ramlah Abas yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Rim.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penanam-Penanam Mangga Melaka Delight negeri, Kasim Salimin berkata Melaka mempunyai kira-kira 600 orang pengusaha yang mengusahakan sekurang-kurangnya 0.46 hektar tanah untuk tanaman berkenaan.

Menurutnya, pendedahan dan maklumat yang disalurkan kepada pengusaha banyak membantu terutama bagi meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan bagi mencapai sasaran pasaran luar negara.

Seorang pengusaha di Chohong, Ismail Saidin, 71, berkata sejak memulakan projek itu kira-kira lapan tahun lepas beliau banyak menerima maklumat dan pendedahan dari Jabatan Pertanian mengenai kaedah menjaga tanaman berkenaan.

Beliau memberitahu penjagaan yang teliti dan teratur perlu bagi mengelakkan sebarang risiko tanaman daripada rosak sehingga tidak boleh dipasarkan.

Seorang lagi pengusaha, Baha Abu, 58, menjelaskan walaupun Melaka Delight menjanjikan pulangan yang lumayan tetapi risiko kerugian juga adakalanya agak tinggi.

"Bayangkanlah kali ketiga dipetik baru-baru ini dari 10 bakul yang diturunkan 9 bakul rosak dan tidak boleh dijual, terpaksa buang sebab ada ulat atau buah rosak," katanya.

Seramai 50 orang peserta dari seluruh negeri ini mengikuti bengkel berkenaan yang berlangsung selama dua hari bermula pada 20 Februari lepas.

 

Mingguan Melaka : 25 Feb - 3 Mar 2001. Issue 33

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 33 (25 Feb - 3 Mar 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner