| GEMPA BUMI DI GUJERAT . . . BELIA CHETTI SERAH BANTUAN GAJAH BERANG : Nasib malang mangsa gempa bumi di Gujerat, India turut menarik perhatian masyarakat di negeri ini untuk turut menghulurkan bantuan terhadap kesengsaraan dan penderitaan yang menimpa mereka. Satu majlis penyerahan lebih 300 kotak pakaian baru dan terpakai sumbangan Persatuan Belia Kaum Chetti, Persatuan Kuil Ambaji dan Hotel Pasific Inn di sini baru-baru ini. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Belia Kaum Chetti, Arunasalam Pillay berkata sumbangan itu menggambarkan sifat prihatin dan tanggungjawab masyarakat di negeri ini terutama dalam membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Sementara itu, Pengerusi Hotel Pasific Inn, Bharat K Ajmera pula berkata, sumbangan itu dipungut dari orang ramai sejak beberapa minggu lepas selepas gempa bumi melanda Gujerat. "Walaupun berlaku di negara lain tetapi kita perlu bersikap prihatin dan bersama membantu meringankan beban mangsa yang kehilangan ahli keluarga, tempat tinggal dan harta benda," katanya selepas majlis penyampaian yang diadakan di di Kuil Seri Muthu Mariyaman di sini. Beliau bebreitahu, berusaha juga sedang dilakukan untuk menghantar ubat-ubatan selain khemah kepada mangsa yang terbabit dan sumbangan kewangan juga akan turut disampaikan terus kepada Kedutaan Besar India di Kuala Lumpur. Gempa bumi 6.9 berskala rektar itu telah melanda Gujerat 26 Januari lepas yang mengorbankan kira-kira 19,213 dan mencederakan 166,812 orang selain memusnahkan harta benda serta tempat tinggal.
Mingguan Melaka : 25 Feb - 3 Mar 2001. Issue 33 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 33 (25 Feb - 3 Mar 2001) |
||