Mingguan Melaka
     

Pembedahan Jantung Terbuka...

First open heart surgery in Malacca

HOSPITAL SOUTHERN CATAT SEJARAH

BANDAR MELAKA : Seorang kanak-kanak perempuan, Siti Nurfarhani Akma Ahmad Zamree, tiga tahun 10 bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang berjaya menjalani pembedahan di Hospital Southern di sini 21 Februari lepas.

Pembedahan itu merupakan catatan sejarah bagi hospital milik kerajaan negeri itu apabila ini merupakan pembedahan jantung terbuka yang pertama dilakukan di hospital berkenaan memlibatkan kanak-kanak.

Siti Nurfarhani anak sulung dari dua adik beradik dari Taman Desa, Ayer Molek di sini dikesan menghidap penyakit jantung berlubag sejak dilahirkan menjalani pembedahan itu selama enam jam bermula dari jam 8.30 pagi.

Pembedahan itu dilakukan oleh beberapa pkar dari Institut Jantung Negara (IJN) yang diketuai oleh pakar pediatric, Datuk Dr. Ahmad Sallehuddin dan dibantu Dr. Hamdan Leman serta diawasi oleh Pengarah Urusan IJN, Datuk Dr. Yahya Awang.

Turut membantu ialah pakar bius Hospital Southern, Dr. Ahmad Khidir Ghazali dan dua ketua jururawat.

Siti Nurfarhani yang telah menjalani rawatan sebanyak 12 kali di IJN kemudiannya dirujuk kepada Hospital Southern yang telah menandatangani perjanjian dengan IJN sejak 15 November lalu bagi membolehkan pembedahan jantung dilakukan di hospital berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Southern, Abdul Hamid Mustapah berkata, hospital itu telah melakukan sebanyak 30 pembedahan jantung terbuka dengan kerjasama IJN melibatkan orang dewasa termasuk warga Indonesia.

Turut melawat Siti Nurfarhani ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, datuk Mo'min Abdul Aziz yang juga anggota Dewan Undangan (Adun) kawasan Ayer Molek.

Abdul Hamid berkata, kos pembedahan antara RM18,000 hingga RM25,000 itu ditanggung oleh Tabung Kebajikan Kerajaan Negeri, Tabung Kebajikan Hospital Southern dan IJN.

"Siti Nurfarhani akan ditempatkan di wad penjagaan rapi selama tiga hari sebelum dipindahkan ke wad biasa selama seminggu, bagaimanapun dia akan menjalani rawatan susulan di hospital ini selama enam bulan," katanya.

Ahmad Zamree Abdul Ghani, 30, yang bekerja sebagai pemandu lori melahirkan rasa sukacitanya dan berterima kasih kepada kerajaan negeri, Hospital Southern dan IJN yang begitu prihatin terhadap nasib malang yang menimpa anaknya.

"Saya khuatir keselamatan Siti Nurfarhani jika tidak dibedah segara...saya bersyukur kerana pembedahan ini berjalan lancar dan diharapkan keadaan anak saya akan sihat seperti kanak-kanak lain yang seumur dengannya," katanya.

 

Mingguan Melaka : 25 Feb - 3 Mar 2001. Issue 33

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 33 (25 Feb - 3 Mar 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner