Mingguan Melaka
     

KAUNTER SEMENTARA BAHARUI LESEN

lesen


SEBATU : Kaunter sementara memperbaharui lesen perikanan yang dibuka selama sehari mengikut kawasan oleh Jabatan Perikanan negeri di pengkalan-pengkalan nelayan merupakan langkah positif jabatan itu adalah usaha memberi kesedaran terhadap tanggungjawab golongan berkenaan memperbaharui lesen masing-masing.

Ketua Daerah Perikanan Melaka Tengah, Abdullah Ahmad berkata lesen itu perlu diperbaharui setiap tahun dan khidmat kaunter bergerak anjuran jabatan berkenaan diadakan setiap tahun bagi kemudahan golongan nelayan.

Bercakap kepada Mingguan Melaka ketika kerja-kerja memperbaharui lesen diadakan di Pengkalan Sebatu di sini katanya, terdapat kira-kira 50 orang nelayan yang masih aktif di pengkalan berkenaan.

Beliau menjelaskan bayaran yang dikenakan untuk memperbaharui lesen tersebut hanya RM10 dan setiap nelayan mesti mempunyai lesen sebelum mereka turun ke laut untuk menangkap ikan.

“Lesen ini hanya perlu diperbaharui setahun sekali dan harganya juga tidak mahal serta mampu untuk dibayar oleh para nelayan.” Katanya. Seorang nelayan, Seman Ibrahim, 60, yang telah menjadi nelayan selama 30 tahun berkata rata-rata nelayan di pengkalan itu berpuashati dengan khidmat dan kerjasama yang diberikan oleh kakitangan jabatan berkenaan.

Menurutnya, dengan adanya kaunter sementera itu walaupun tidak lama ia memudahkan golongan nelayan memperbaharui lesen mereka kerana tidak perlu ke pejabat perikanan yang terletak di Batu Berendam.

“Perbaharui lesen memang tak susah setahun sekali sahaja tapi kalau sampai nak ke Bandar Melaka, kenderaan pula tak ada susahlah sikit… ada kaunter macam ni senang tak payah beratur panjang tunggu giliran.”ujarnya.

Seorang lagi nelayan, Yahya Yaakup, 73, berkata rata-rata hasil tangkapan serta punca rezeki nelayan di pengkalan tersebut adalah hasil dari laut seperti kupang, kerang dan ikan. Beliau memberitahu jika tiada lesen bermakna mereka tidak boleh keluar menangkap ikan dan sudah pasti menyusahkan mereka serta keluarga yang bergantung hidup kepada punca pendapatan dari laut.

 

Mingguan Melaka : 18 Feb - 24 Feb 2001. Issue 32

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 32 (18 Feb - 24 Feb 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner