| LIGA MALAYSIA AWAS ! KEHADIRAN KANCIL KEUPAYAAN skuad Liga Malaysia Melaka mencatat keputusan tanpa kalah pada lapan saingan persahabatan menonjolkan amaran kepada pasukan lain di Perdana Satu bahawa kuasa baru akan muncul mengungguli liga. Skuad bimbingan Ramli Junit yang menyajikan aksi cemerlang dengan kemenangan tujuh perlawanan manakala seri sekali memperlihatkan kebangkitan Kancil untuk menggugat pasukan elit pada persaingan kali ini. Percaturan yang mantap di samping gandingan pemain baru dan lama membuahkan hasil apabila membenam pasukan pilihan Singapura 4-2 dan Johor FC 4-1. Jika dahulu, Ramli menghadapi masalah penyudah yang kurang menyerlah nampaknya untuk musim kali ini gawang lawan perlu bersiap sedia dengan jentera pengempur yang mantap dihidangkan oleh skuad Hang Tuah. Saya tidak perlu lagi ragui kehebatan seseorang pemain kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan mengetahui tanggungjawab sebagai sebuah pasukan, kata Ramli yang begitu selesa terhadap pencapaian anak-anak buahnya. Walaupun mengharungi perlawanan persahabatan yang begitu menyerlah, namun Ramli tidak mudah lupa terhadap sanjungan yang diberikan malah menganggap masih banyak lagi kerja yang perlu dibuat. Pasukan yang mantap bukan sebuah pasukan yang mengandungi bintang atau pemain ternama tetapi pasukan yang boleh menjaringkan gol disamping mengelakkan kesilapan selain mengharapkan nasib menyebelahi mereka, katanya tegas.Ternyata, walaupun belum pasti untuk beraksi di gelanggang sendiri akibat kerja-kerja pengubahsuaian Stadium Kubu tidak sedikit pun memberikan kesan terhadap semangat pemain-pemain yang begitu komited. Selain itu, sebagai persiapan untuk menghadapi jika pemain tercedera Ramli menjelaskan semua pemainnya telah siap sedia dan boleh diturunkan bila-bila masa mengikut posisi masing-masing. Ini terbukti semasa pemain simpanan yang diuji pada perlawanan persahabatan turut menunjukkan mutu permainan yang tidak banyak berbeza dengan kesebelasan utama, ujarnya. Sementara itu, Panel Kejurulatihan yang mengawasi kesemua perlawanan persahabatan itu becadang untuk menganjurkan lebih banyak perlawanan persahabatan bagi memastikan pemain Melaka mendapat pendedahan yang meluas. Sememangnya melalui perlawanan persahabatan dapat memberikan semangat kepada pemain supaya tidak gementar bila berhadapan dengan pasukan yang boleh dikatakan sebagai elit. Saya yakin, prestasi pemain-pemain baru mncapai tahap 70 peratus sekarang dan apabila bermulanya perlawanan itulah prestasi sebenar kemuncak mereka,
Mingguan Melaka : 18 Feb - 24 Feb 2001. Issue 32 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 32 (18 Feb - 24 Feb 2001) |
||