| MDAG MERIAHKAN
PENGISYTIHARAN LANGKAWI BANDARAYA PELANCONGAN ALOR GAJAH : Ahli-Ahli Majlis dan pegawai Majlis Daerah Alor Gajah (MDAG) telah turut sama memeriahkan majlis Perisytiharan Langkawi Bandaraya Pelancongan baru-baru ini. Rombongan berkenaan yang diketuai oleh Yang Dipertua MDAG, Idris Haron telah diundang khas oleh Majlis Daerah Langkawi yang kemudiannya dinaikkan taraf sebagai Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) sempena hari perisytiharan berkenaan. Idris berkata, peluang untuk hadir pada hari bersejarah itu adalah satu pengalaman yang menarik dan amat berfaedah kepada MDAG. "Penglibatan kita pada hari Perisytiharan Langkawi Bandaraya Pelancongan ini juga adalah bertujuan untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin supaya MDAG dapat bersedia sekiranya Alor Gajah pula mencapai taraf perbandaran pada masa akan datang," katanya. Sempena lawatan itu, Idris juga telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua MPLBP, Datuk Ismail Hamid. Selain menyaksikan Perisytiharan Langkawi Bandaraya Pelancongan yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, ahli-ahli majlis dan pegawai MDAG juga dibawa melawat beberapa destinasi pelancongan menarik di pulau legenda itu.
Mingguan Melaka : 8 Apr - 14 Apr 2001. Issue 39 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 39 (8 Apr - 14 Apr 2001) |
||