| HANYA 4,000 PENUNTUT
DITERIMA BUKIT SEBUKUR : Kolej Yayasan Melaka (KYM) akan mengambil sebanyak 4,000 penuntut baru bagi mengikuti pelbagai jurusan pengajian peringkat ijazah, diploma dan sijil yang ditawarkan mulai Jun ini. Ketua Eksekutif KYM, Dr. Hamzaid Yahya berkata, jumlah penuntut itu adalah sebahagian daripada 20,000 permohonan yang diterima untuk memasuki kolej itu pada tahun ini berbanding hanya 4,000 permohonan pada tahun lepas. Beliau berkata, KYM bercadang menawarkan beberapa kursus baru dan memberi tumpuan kepada kursus persijilan dalam bidang kemahiran vokasional mulai tahun ini. Menurutnya, kursus-kursus di dalam bidang kemahiran vokasional itu diadakan dengan kerjasama Majlis Pembangunan Sumber Manusia (MPSM) bagi melatih pekerja dari sektor perindustrian. "Tujuan kita memperbanyakkan kursus dalam bidang vokasional ini adalah untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir di kalangan pekerja terutama di dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi ICT," katanya di sini baru-baru ini. Dr. Hamzaid berkata, para majikan yang mendaftar dengan Kementerian Sumber Manusia boleh menghantar pekerja mereka untuk mengikuti kursus berkenaan secara sambilan di bawah Skim Latihan Pekerja di bawah kelolaan kementerian berkenaan. "Di bawah skim ini, majikan dan penuntut tidak membiayai kos pengajian sebaliknya yuran pengajian ditanggung oleh MPSM melalui Tabung Kemahiran Sumber Manusia," katanya. Sehubungan itu, beliau berharap hampir 2,000 buah kilang yang beroperasi di negeri ini mengambil peluang itu dengan menghantar pekerja mereka ke KYM. "Selain ICT, KYM turut menawarkan sijil kemahiran dalam bidang elektrik, elektronik, kursus anjuran Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Program Akademi Rangkaian CISCO," katanya. Menurutnya, kebanyakan penuntut dalam bidang vokasional di KYM mempunyai peluang kerja yang begitu besar di negara ini malah boleh dikatakan semua penuntut dalam bidang elektrik dan elektronik di kolej itu sudah ditawarkan pekerjaan sebelum mereka menamatkan pengajian.
Mingguan Melaka : 8 Apr - 14 Apr 2001. Issue 39 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 39 (8 Apr - 14 Apr 2001) |
||