Mingguan Melaka
     

PENEROKA FELCRA TARIK NAFAS LEGA

LEMBAH KESANG : Masalah yang dihadapi oleh 60 orang peneroka di kawasan Felcra Lembah Kesang di sini berakhir apabila mereka mendapatkan gran hak milik individu setelah menanti lebih 10 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Lembah Kesang, Maizan Natik berkata, campur tangan oleh Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam akhirnya berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat peneroka di kawasan itu..

Beliau berkata, setelah tiga Ketua Menteri, barulah golongan peneroka yang terbabit dapat menikmati hak milik individu dan mengusahakan tnah mereka sendiri.

Menurutnya, semua masyarakat peneroka yang terbabit begitu terharu dengan keprihatinan Mohd. Ali yang mahu melihat secara dekat masalah yang dihadapi oleh masyarakat peneroka.

"Sememangnya kami sudah menanti begitu lama dan berkat kesabaran serta usaha Ketua Menteri akhirnya kami masyarakat peneroka dapat memiliki tanah ini," katanya kepada Mingguan Melaka di sini.

Maizan berkata, keprihatinan yang ditunjukkan itu membuktikan kerajaan yang ada sekarang benar-benar menyelami masalah yang dihadapi oleh rakyat dan bukan janji-janji kosong.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih bagi masyarakat peneroka di situ kepada anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Merlimau, Nazari Adzim yang turut memainkan peranannya sehingga masalah yang dihadapi berjaya diselesaikan.

"Inilah bukti wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dan berkhidmat untuk rakyat...ini juga membuktikan pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Wira Mohd. Ali Rustam sememangnya mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat," katanya.

Masalah yang menghantui masyarakat peneroka di situ akhirnya selesai apabila Mohd. Ali menyerahkan geran hak milik individu kepada para peserta tanah rancangan berkenaan dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini.

 

Mingguan Melaka : 8 Apr - 14 Apr 2001. Issue 39

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 39 (8 Apr - 14 Apr 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner