Mingguan Melaka
     

Program Tunas Bola Sepak 72 pelajar terpilih sebagai printis

SERAMAI 72 pelajar dari tiga daerah di negeri ini terpilih menyertai Program Tunas Bola Sepak F&N/Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai di sini baru-baru ini.

Melaka terpilih sebagai destinasi terbaru perlaksanaan program itu yang bertujuan melahirkan kelompok pemain muda berbakat bagi memikul cabaran skuad negara pada masa depan.

Sebanyak 12 buah sekolah dari seluruh negeri ini menyertai program berkenaan sebagai permulaan.

Ia menepati jalinan kerjasama MSSM dan Persatuan Bola Sepak Malaysaia (FAM) yang dimeterai hasil daripada cadangan yang terhasil daripada Seminar Bola Sepak Kebangsaan dua tahun lepas.

Syarikat F&N menjadi penaja utama program berkenaan yang menyaksikan para pemain yang terpilih didedahkan dengan latihan sistematik oleh jurulatih berkemampuan.

Kelompok pemain terpilih daripada peringkat umur lapan hingga 12 tahun akan menjalani asas pembentukan bakat yang terarah kepada memupuk minat serta menyemai kemahiran asas bersesuaian.

Pada program itu juga diadakan perlawanan empat sepasukan di kalangan 12 buah sekolah terpilih yang bertujuan melihat dan menilai tahap kemampuan dimiliki pemain.

Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai muncul juara pada kejohanan berkenaan selepas berjaya menundukkan Sekolah Kebangsaan Serkam Darat manakala Sekolah Kebangsaan Pernu menduduki tempat ketiga.

 

Mingguan Melaka : 8 Apr - 14 Apr 2001. Issue 39

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 39 (8 Apr - 14 Apr 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner