Mingguan Melaka
     

JABATAN JANGAN SOROK MASALAH

JALAN KUBU : Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam mahukan semua ketua- jabatan kerajaan negeri dan pusat supaya melaporkan sebarang masalah yang dihadapi bagi memudahkan tindakan dilaksanakan dengan segara.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab ketua-ketua jabatan itu untuk melaporkan kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) tanpa berasa malu untuk berbuat demikian.

Menurutnya, masalah seperti kurang zat makanan, bantuan pendidikan dan kemiskinan perlu dimaklumkan kepada kerajaan negeri supaya tindakan susulan dapat dilakukan.

"Setiap jabatan yang terbabit akan mengemukakan laporan kepada kementerian masing-masing sebelum memaklumkan kepada kerajaan negeri setiap akhir taun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kuiz pendidikan pengguna dan kesusasteraan bahasa tamil di sini baru-baru ini.

Mohd Ali berkata, oleh kerana masalah kemiskinan, pendidikan dan kurang zat makanan adalah masalah semasa, kerajaan negeri bertanggungjawab mengatasinya secepat mungkin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng baru-baru ini bahawa Melaka mencatatkan jumlah tertinggi kes kanak-kanak mengalami kurang zat makanan dan masalah terlebih berat badan pada 1999.

Melaka mencatatkan 27.7 peratus kanak-kanak berusia bawah lima tahun yang mengalami kurang zat makanan diikuti Pulau Pinang 25.5 peratus dan Kelantan 17.9 peratus.

Negeri ini juga turut mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 9.8 peratus bagi kanak-kanak yang terlebih berat badan diikuti Pahang 6.7 peratus dan Pulau Pinang 6.6 peratus.

Sehubungan itu, Mohd Ali mahukan Pengarah Kesihatan negeri memberikan taklimat berhubung masalah itu ketika Mesyuarat Ecxo di mana segala maklumat itu akan digunakan untuk mencari jalan penyelesaian dan jika perlu kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat untuk tahun lepas.

 

Mingguan Melaka : 8 Apr - 14 Apr 2001. Issue 39

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 39 (8 Apr - 14 Apr 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner