Mingguan Melaka
     

PENIAGA TUNTUT GERAI MPMBB

BATU BERENDAM : Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil dan Penjaja negeri ini meminta Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB) menunaikan janjinya bagi membina semula gerai-gerai penjaja yang dirobohkan di Taman Merdeka di sini kira-kira dua bulan lepas.

Yang Dipertuanya, Datuk Muhidan Md. Natar berkata, ini kerana MPMBB berjanji untuk membina gerai baru dalam tempoh dua minggu setelah gerai lama dirobohkan.

Bagaimanapun, sehingga kini, beliau berkata, MPMBB gagal menyiapkan gerai baru sebagaimana yang dijanjikan sedangkan peniaga tidak ada tempat lain untuk menjalankan perniagaan.

Menurutnya, seramai 12 peniaga yang terlibat kini menghadapi masalah kerana tidak dapat menjalankan perniagaan sedang kan mereka bergantung kepada perniagaan di kawasan itu.

"Saya berharap MPMBB dapat menyegerakan pembinaan gerai baru itu untuk peniaga yang terbabit," katanya di sini baru-baru ini apabila diminta mengulas mengenai masalah yang dihadapi oleh peniaga-peniaga di kawasan berkenaan yang hilang punca pendapatan.

Muhidan berkata, MPMBB seharusnya memberikan perhatian kepada masalah itu yang sudah dibangkitkan di dalam Mesyuarat Majlis MPMBB bagaimanapun sehingga kini tidak ada sebarang usaha dilakukan bagi menangani masalah berkenaan.

 

Mingguan Melaka : 8 Apr - 14 Apr 2001. Issue 39

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 39 (8 Apr - 14 Apr 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner