Mingguan Melaka
     

AMALKAN KITAR SEMULA

Kitar semula

BANDAR MELAKA : Pengusaha sektor perindustrian di negeri ini disaran supaya bekerjasama menjayakan kempen kitar semula di samping menangani isu pencemaran alam sekitar bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan bersih.

Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata pengusaha kilang perlu mengadaptasi proses pengeluaran dan penghasilan konsep produktiviti mesra alam antarabangsa yang selari dengan ISO 14000 dan ISO 14001.

Berucap ketika merasmikan Seminar Kitar Semula : Pengurusan Sistem Alam Sekitar Yang Praktikal Ke Arah Pensijilan ISO 14000 menjelaskan amalan kitar semula dapat mengatasi masalah pelupusan sisa pepejal selain memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada.

"Peningkatan jumlah sisa pepejal yang digunakan setiap hari dan perlu dilupuskan di tapak perlupusan di Jasin, Alor Gajah dan Krubong sangat membimbangkan," katanya.

Menurutnya, kempen 4R yang merangkumi kaedah guna semula (reuse), mengurangkan (reduce), kitar semula (recycling) dan fikir (rethink) diharap dapat memberi didikan kepada masyarakat mengenai kepentingan amalan kitar semula.

Mohd. Ali berkata, Southern Waste Management (SWM) yang menguruskan sisa pepejal di negeri ini sedang giat melancarkan beberapa program yang bersesuaian bagi memastikan usaha itu mencapai matlamatnya.

Beliau juga berharap tong sampah berwarna khas (oren untuk plastik dan aluminium, biru untuk kertas dan coklat untuk kaca) yang diperkenalkan turut dilabelkan bagi kemudahan orang ramai di samping mengelak kekeliruan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SWM, Dr. Uzir Abdul Malik menjelaskan SWM sedang mengenalpasti suatu tapak baru yang bersesuaian untuk dijadikan pusat pelupusan sampah selain pusat pemindahan sementara di Alor Gajah dan Jasin.

 

Mingguan Melaka : 8 Apr - 14 Apr 2001. Issue 39

Copyright 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 39 (8 Apr - 14 Apr 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner