Mingguan Melaka
     

RM82.5 JUTA PERUNTUKAN PENDIDIKAN AGAMA

AYER KEROH : Kerajaan negeri memperuntukkan RM82.5 juta untuk pembangunan pendidikan sekolah-sekolah menengah agama dan kampus induk Universiti Al-Azhar cawangan Melaka dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8).

Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang besar berikutan sambutan sambutan masyarakat terhadap pendidikan agama sungguh menggalakkan.

"Setakat ini, kita mempunyai 150 sekolah rendah agama yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar manakala enam sekolah rendah dan enam sekolah menengah agama Arab yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa penghantar," katanya.

Beliau berkata, peruntukan RM59.3 juta itu adalah bagi pembiayaan untuk pembinaan kampus induk Universiti Al-Azahar cawangan Melaka iaitu Kulliyah Al-Dirasat Al-Islamiah Wal-Arabiah seluas 15.64 hektar di Mukim Bukit Katil.

Menurutnya, sekolah menengah agama yang terlibat pula ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) JAIM Selandar, SMA JAIM Bukit Merchat di Alor Gajah, SMA JAIM Darul Falah di Kuala Sungai Baru, SMA JAIM Ehya El-Karim di Tanjung Bidara, SMA JAIM Al-Ahmadi di Sungai Udang dan SMA JAIM di Merlimau.

"Dalam RMK-8, peruntukan juga diberikan kepada sekolah-sekolah rendah agama Arab JAIM berjumlah RM23.3 juta untuk pembinaan bangunan baru sekolah," katanya di sini baru-baru ini.

Antara sekolah yang terbabit ialah Sekolah Rendah Arab (SRA) Pernu, SRA Jelatang, SRA Batang Tiga dan SRA Merlimau Pasir.

Selain itu, Mohd. Ali berkata, terdapat dua buah pusat pengajian tinggi yang menawarkan program peringkat Diploma iaitu Ma'ahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat di Cenderah, Jasin dan Universiti berkembar Al-Azhar iaitu Kuliyyah Al-Dirasat Al-Islamiah Wal-Arabiah di Bukit Katil yang menjalankan program di peringkat ijazah dalam bidang Syariah dan Usuluddin.

.

Mingguan Melaka : 29 Apr - 5 May 2001. Issue 42

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 42 (29 Apr - 5 May 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner