| SK PAY FONG TERIMA
RM100,000 BANDAR MELAKA : Sekolah swasta beraliran China kini sudah membuka luas pintu persekolahan kepada kaum-kaum lain di negara ini selaras dengan misi kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai koridor ilmu dan sekaligus memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Kepada Pelajar-pelajar Miskin Sekolah Menengah Pay Fong berkata, guru dan juga ahli-ahli Lembaga Pengurus Sekolah yang begitu komited dan kemudahan pembelajaran yang lengkap mampu melahirkan pelajar yang baik prestasi akademiknya serta berjasa kepada masyarakat. Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap pelajar yang cemerlang dalam pelajaran, berkelakuan baik dan berasal dari keluarga miskin serta berpendapatan rendah di negeri ini. Sehubungan itu, kerajaan negeri telah memberi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada pelajar-pelajar miskin dan kurang berkemampuan di sekolah itu bagi menampung bayaran yuran dan kos perbelanjaan. Seramai 153 orang pelajar terpilih menerima sumbangan pelajaran yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu sumbangan bayaran yuran penuh dan lain-lain perbelanjaan bernilai antara RM600 hingga RM1,420 seorang bagi 86 pelajar dan sumbangan bayaran yuran separuh bernilai antara RM235 hingga RM485 seorang bagi 67 pelajar. Mohd Ali berharap pelajar-pelajar yang menerima sumbangan itu belajar bersungguh-sungguh, berjaya dalam bidang akademik dan ko-kurikulum, berdisiplin dan sentiasa menjadi contoh kepada pelajar lain di sekolah berkenaan. Beliau berkata, sekolah itu telah ditubuhkan 88 tahun lepas dan kini telah membuka pintu kepada bangsa lain dalam usaha merealisasikan semangat perpaduan kaum dengan komposisi pelajar seramai 26 Melayu, India (empat) dan 57 pelajar dari luar negara iaitu 44 Indonesia, Taiwan (lapan), China (tiga) dan Perancis (dua). Menurutnya, pencapaian sekolah itu dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak tahun 1997 hingga 2000 begitu menggalakkan dan telah berjaya melahirkan ramai pelajar dan pemimpin yang berjaya dalam bidang masing-masing. "Prestasi pencapaian dalam peperiksaan PMR mencatat purata kelulusan melebihi 92 peratus sementara peperiksaan SPM purata prestasi pencapaian dalam mata pelajaran 98.25 peratus," katanya. Mohd. Ali berkata, guru mesti melaksanakan tanggungjawab mendidik bagi melahirkan golongan pelajar berilmu, bijaksana, cintakan negara, menghormati perpaduan, bersatu padu dan bersedia mempertahankan kedalautan negara daripada ancaman anasir-anasir yang sentiasa ingin menghancurkan negara. Setakat ini di Melaka terdapat lima buah sekolah swasta yang mempunyai hampir 2,500 pelajar iaitu Sekolah Menengah Pay Fong, Sekolah Tinggi Methodist, Melaka International School, Kolej Yayasan Saad dan Over Straits School. . Mingguan Melaka : 29 Apr - 5 May 2001. Issue 42 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 42 (29 Apr - 5 May 2001) |
||