Mingguan Melaka
     

55 PENDUDUK KAMPUNG GANGSA DAPAT HAK MILIK

DURIAN TUNGGAL : Kerajaan negeri meluluskan pemberian Surat Hakmilik tanah kepada 55 orang penduduk kampung Gangsa di sini yang telah menjelaskan bayaran premium tanah masing-masing.

Penantian penduduk kampung selama kira-kira 25 tahun akhirnya menjadi kenyataan manakala permohonan 11 penduduk lagi masih dipertimbangkan oleh Pejabat Tanah Alor Gajah (PTAG).

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Durian Tunggal, Datuk Abdul Kadir Daud berkata 11 orang yang masih belum selesai menjelaskan premium masing-masing telahpun mengemukakan rayuan supaya tempoh bayaran mereka dilanjutkan.

Menurut beliau mereka yang terlibat membayar premium antara RM2,000 hingga RM11,000 mengikut keluasan lot tanah yang mereka terokai dan menetap di tanah tersebut selama lebih 70 tahun yang lepas.

"Bagaimanapun perkara ini masih dalam kajian pihak PTAG, sekiranya rayuan tersebut mempunyai asas dan munasabah maka rayuan mereka akan dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk diberi surat hakmilik seperti kumpulan 55 orang itu," katanya kepada Mingguan Melaka di sini.

Abdul Kadir menjelaskan keluasan Kampung Gangsa adalah 5.5208 hektar dan pada masa ini tiada lot kosong kecuali lot rizab untuk dijadikan projek kemudahan awam sahaja yang tinggal.

Menurutnya adalah wajar penduduk kampung ini diberi surat hakmilik masing-masing memandangkan mereka adalah rata-rata penduduk asal dan telah tinggal dikampung tersebut kira-kira 70 tahun lamanya seperti penduduk kampung traditional lain.

Pengerusi JKKK kampung, Rasdi Ismail yang mewakili penduduk kampung mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian tersebut.

Rasdi berkata isu mendapatkan surat hakmilik tersebut telah diperjuangkan sejak 25 tahun yang lepas oleh pemimpin kampung tersebut dan ia akhirnya menjadi kenyataan.

Beliau turut menyarakan semua pemilik tanah supaya membuat permohonan kepada kerajaan supaya status tanah yang dijadikan tanah rizab Melayu (MCL) atau kekal memandangkan cukai tanah akan dapat dikurangkan kira-kira 50 peratus berbanding cukai tanah pajakan.

.

Mingguan Melaka : 29 Apr - 5 May 2001. Issue 42

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 42 (29 Apr - 5 May 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner