Mingguan Melaka
     

WISMA NEGERI JADI "CITY CAMPUS"

JALAN HANG TUAH : Kerajaan bercadang menyerahkan Wisma Negeri kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka supaya dijadikan sebagai 'City Campus' untuk kemudahan penuntut dan perkembangan pendidikan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, kerajaan negeri akan berbincang lebih lanjut dengan pihak UiTM bagi mengendalikan Wisma Negeri di sini bagi mewujudkan konsep City Campus itu.

Beliau berkata, cadangan itu adalah berorientasikan pelancongan sesuai dengan kedudukannya di dalam kawasan bandar dan boleh dihiaskan dengan lanskap yang tersusun serta lampu-lampu berwarna yang dapat menarik perhatian pelancong.

Menurutnya, kewujudan City Campus itu akan menjadi salah satu daripada usaha kerajaan merealisasikan pelancongan pendidikan yang merupakan salah satu daripada sembilan sektor pelancongan yang ditetapkan.

"Perbincangan seterusnya akan diadakan bagi mendapatkan maklum balas dari UiTM mengenai perlaksanaan City Campus itu," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kota Melaka di Hotel Golden Legacy di sini baru-baru ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amid Nordin yang juga Adun kawasan Alai mengekalkan jawatannya sebagai Ketua bahagian Umno Kota Melaka, Timbalannya, Nowawi Johari, Naib Ketua, Abdul Wahab Abdul Jalil, Ketua Pemuda, Ibrahil Fadzil manakala Ketua Wanita, Rabyiah Ali.

Sementara itu, Mohd. Ali turut mahukan supaya setiap anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau penduduk flat dan pangsapuri prihatin terhadap kebersihan kawasan persekitaran mereka.

Beliau berkata, jika mereka menghadapi masalah perlulah mengemukakan aduan mereka melalui saluran yang tertentu atau akhbar kerajaan negeri iaitu Mingguan Melaka supaya masalah yang dihadapi dapat diatasi segera.

.

Mingguan Melaka : 29 Apr - 5 May 2001. Issue 42

Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 42 (29 Apr - 5 May 2001)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner