DENDA RM50,000 ATAU PENJARA 5 TAHUN JIKA AJAR AMANAT HADI Denda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya akan dikenakan kepada sesiapa yang mengajar dan menjelaskan 'Amanat Haji Hadi' selepas Kerajaan Negeri Melaka meminda Seksyen 60 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991. Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Mohd Ali Rustam berkata pindaan enakmen itu bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang melanggar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Pada masa ini Seksyen 60 Enakmen Kesalahan Syariah itu hanya memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. "Kerajaan negeri juga akan mewartakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan selepas diperakukan oleh Majlis-Raja-Raja baru-baru ini yang memutuskan bahawa mengkafirkan orang UMNO yang beragama Islam adalah bercanggah dengan ajaran agama Islam," katanya selepas merasmikan mesyuarat Exco di Pejabat Daerah Jasin. Tambah beliau, fatwa itu akan diwartakan dalam tempoh dua minggu sebelum Seksyen 60 enakmen itu dicadang untuk dipinda bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada mereka yang melanggar fatwa berkenaan. Sehubungan itu, Penasihat Undang-Undangn Negeri, Nor Bee Ariffin akan berbincang dengan Mufti Negeri, Datuk Rashid Redza Mohd Salleh untuk mewartakan fatwa serta meminda enakmen berkenaan. Maklum balas dari negeri-negeri lain juga akan diambil supaya pewartaan dan tindakan undang-undang berkenaan dapat diselaraskan. Menurut Datuk Wira Mohd Ali, mereka yang melanggar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan juga boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 63 (1) dan Seksyen 68. Mengikut Seksyen 63 (1) sesiapa yang cuba mencerca pegawai agama yang dilantik atau fatwa yang dikeluarkan boleh didenda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Seksyen 68 pula memperuntukkan bahawa sesiapa yang mengatakan bahawa orang Islam sebagai kafir sama ada secara lisan atau isyarat adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. . Mingguan Melaka : 29 Apr - 5 May 2001. Issue 42 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 42 (29 Apr - 5 May 2001) |
||