PERLAKSANAAN BANDAR DALAM TAMAN AYER KEROH : Lereng Bukit Sebukor di sini bakal berwajah baru yang lebih ceria dan indah serta dihiasi bunga pelbagai warna sepanjang 90 meter dan sembilan meter lebar berikutan perlaksanaan projek Cerun Lebuh Ayer Keroh yang bermula 16 April lepas. Pengarah Pengindahan Bandar Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB, Sapiah Haron berkata projek tersebut dilaksanakan oleh 10 orang kakitangan MPMBB dengan kerjasama 15 orang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Beliau berkata, projek yang memakan masa dua minggu itu adalah bersamaan dengan konsep 'tirai' Jalan Mahameru, Kuala Lumpur dijangka memberikan pemandangan yang berbeza dan lebih ceria untuk negeri ini. "Projek ini merupakan hasil dari pemindahan teknologi daripada salah sebuah bandaraya berkembar dengan negeri ini iaitu Kuala Lumpur yang menandatangani perjanjian Bandaraya Berkembar sejak tahun 1989," katanya. Sapiah menjelaskan setakat ini, projek pengindahan itu sedang giat dilaksanakan dan diharap memberikan penampilan berbeza terutama dalam mencapai matlamat menjadikan negeri ini sebagai "bandar dalam taman". Beliau berkata, MPMBB sendiri giat merencanakan pelbagai projek pengindahan dan lanskap yang menarik bagi tujuan menarik perhatian pelancong supaya memilih negeri ini sebagai dentinasi kunjungan mereka. "Pelancong akan lebih berminat untuk melancong ke negeri ini sekiranya mereka ditawarkan pelbagai produk pelancongan yang berbeza termasuk bandar yang indah dan ceria dengan bunga-bungaan pelbagai warna serta lanskap yang menarik," katanya kepada Mingguan Melaka. Sapiah berkata, MPMBB sentiasa prihatin dengan kehendak kerajaan negeri dan berharap dapat menyerap lebih banyak teknologi yang mampu meningkatkan mutu serta kualiti perkhidmatan di negeri ini.
Mingguan Melaka : 29 Apr - 5 May 2001. Issue 42 Copyright © 2001 by IKSEP, Melaka . Issue 42 (29 Apr - 5 May 2001) |
||