KDMDI HIMPUN PEMIMPIN MELAYU DAN ISLAM SELURUH DUNIA SEBANYAK 23 negara termasuk Malaysia akan menyertai Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (KDMDI) yang akan diadakan dari 18 hingga 21 Oktober ini di Dewan Sri Negeri, Ayer Keroh di sini. Konvensyen itu diadakan bagi mengembalikan kegemilangan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara dan pusat perdagangan antarabangsa dari Timur dan Barat. Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam berkata, KDMDI itu diadakan bagi menghimpun para pemimpin dan tokoh Melayu dari seluruh dunia bagi membincangkan mengenai pelbagai aspek dan kepentingan masyarakat Melayu dan masyarakat Islam. Selain itu beliau berkata, melalui perjumpaan itu diharap dapat mengeratkan lagi hubungan alam Melayu dan dunia Islam di kalangan pemimpinnya termasuk dapat bertukar-tukar fikiran dan pendapat mengenai perkembangan semasa serta kemajuan Melayu dan masyarakat Islam dalam dunia globalisasi sekarang. "Program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan Melaka sebagai salah sebuah negeri pelancongan terunggul di dunia dan akan diiktiraf oleh UNESCO tahun 2001," katanya. Kumpulan Sasaran * Para peserta dari negara-negara di dalam dan sekitar Nusantara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Myanmar. * Negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Kuwait, Pakistan, Iraq, Iran, Turki, Mesir, Sudan dan Bosnia-Herzegovina. * Negara-negara yang mempunyai penduduk Islam seperti China, Jepun, Rusia, Afrika Selatan dan Sri Lanka. * Negara-negara lain yang mempunyai hubungan dagang dan sosio budaya dengan Melaka sebelum abad ke-19 seperti Portugal, Belanda, Britain dan Sepanyol. Sementara itu, Pengurus Besar Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Mohd Jamil Mukmin yang merupakan Naib Pengerusi Urusetia KDMDI berkata antara negara-negara yang telah memberi pengesahan akan turut serta ialah Indonesia, Filipina, Brunei, Thailand, Singapura, England, Madagaskar, Iran, Sudan, Australia, Mesir, Iraq, Sri Lanka, Afrika Selatan, Zambabwe, Kemboja, Arab, China, Taiwan, Kuwait, Pakistan dan Bosnia-Herzegovina termasuk peserta dari Malaysia. Beliau berkata, negara-negara yang menyertai KDMDI kebanyakkannya mempunyai sejarah hubungan dagang dan sosio budaya yang sama dengan Melaka, mempunyai penduduk Islam dan bangsa Melayu yang agak ramai. "Sebanyak 16 Propinsi dari negara Indonesia akan menghantar Gabenor atau wakil Gabenor dari beberapa daerahnya iaitu Propinsi Riau, Propinsi Sumatera Barat, Propinsi Sumatera Utara, Propinsi Jakarta, Propinsi Yogyakarta, Propinsi Bangkahulu, Propinsi Jambi, Propinsi Acheh, Propinsi Kalimantan Barat, Propinsi Sulawesi Selatan, Propinsi Kalimantan Tenggara, Propinsi Jawa Timur, Propinsi Jawa Tengah dan Propinsi Jawa Barat. Seramai 400 peserta termasuk dari Malaysia akan turut serta dalam KDMDI dan mereka terdiri daripada Gabenor, wakil Gabenor, Ketua Masyarakat Melayu dari negara masing-masing, ahli perniagaan, wakil badan-badan pelancongan, ahli akademik dan ahli budayawan. Sebanyak 40 kertas kerja akan dibentangkan pada seminar empat hari itu oleh pelbagai wakil kerajaan dan wakil akademik. Mingguan Melaka : 8-14 Okt 2000. Issue 15 Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . |
||