PERKAMPUNGAN ORANG ASLI PRODUK PELANCONGAN GAPAM : Kerajaan negeri akan menjadikan Perkampungan Orang Asli di Gapam sebagai kawasan pelancongan dalam usaha memberikan pendedahan kepada pelancong untuk mendalami kehidupan masyarakat itu. Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam berkata Majlis Agama Islam Melaka (Maim) melalaui anak syarikatnya iaitu Maim Travel Sdn Bhd akan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pakej pelancongan berkenaan. Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan di sini katanya, pakej itu akan dikenali sebagai "Orang Asli Adventure". Menurutnya, perlaksanaan pakej itu dijangka akan siap akhir bulan ini merangkumi beberapa kemudahan prasarana iaitu seperti pembinaan jalan masuk, lampu jalan dan tempat letak kenderaan. "Sebuah kawasan bagi menempatkan kedai menjual barangan kraftangan hasil daripada Orang Asli akan disediakan...ini dapat meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Orang Asli di situ," katanya. Terdapat sebanyak 23 keluarga masyarakat Orang Asli di perkampungan itu yang kebanyakannya menjalankan kegiatan menoreh getah, bertani dan bekerja di ladang berhampiran. Cadangan yang telah diluluskan oleh mesyuarat Exco itu berikutan lawatan kerja Mohd Ali ke kampung masyarakat Orang Asli baru-baru ini yang mendapati kawasan berkenaan sesuai untuk dijadikan tarikan pelancongan. Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan tambahan elaun bagi Tok Batin sebanyak RM50, manakala Jenang (RM30) dan Jegkra (RM20). Mingguan Melaka : 8-14 Okt 2000. Issue 15 Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . |
||