MELAKA BAKAL TERSENARAI TAPAK WARISAN BUDAYA BANDAR MELAKA : Pemilihan Melaka dan Pulau Pinang untuk disenaraikan di dalam Bandar Warisan Dunia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) mampu menarik lebih ramai pelancong di serata dunia untuk datang ke Melaka. Walaupun masih diperingkat penyediaan senarai tentatif tapak bersejarah tetapi ia membuktikan kesungguhan dan komitmen pihak yang terbabit untuk memelihara warisan sejagat dan meletakkan nama Malaysia di dalam peta dunia. Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam berkata Malaysia hingga kini masih belum mempunyai sebarang harta warisan yang disenaraikan walaupun sebanyak 118 negara termasuk 6 negara ASEAN telah tersenarai. Beliau berkata, sehingga kini sejumlah 630 harta warisan iaitu 480 harta budaya, 128 alam semulajadi dan 22 warisan campuran iaitu gabungan warisan budaya dan alam semulajadi diiktiraf sebagai Warisan Dunia. Menurutnya, usaha untuk menyenaraikan Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia yang akan diserahkan kepada UNESCO pada Julai 2001 akan berjaya meletakkan nama Melaka sebagai salah sebuah destinasi pelancongan sejarah. "Diharap pencalonan kita dalam kategori Warisan Budaya iaitu melibatkan Melaka dan Pulau Pinang akan mencapai matlamatnya," katanya ketika merasmikan bengkel 'Penyediaan Senarai Tentatif Tapak-Tapak Sejarah Bandar Melaka dan Pulau Pinang' di sini. Teks ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusof. Mohd Ali berkata, penyenaraian yang dilakukan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti, Suruhanjaya UNESCO Kebangsaan dan Kerajaan Negeri Melaka serta Pulau Pinang adalah bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan 2000 yang telah berlangsung iaitu 'Keranamu Malaysia'. Beliau menjelaskan terdahulu dari itu pelbagai seminar, bengkel dan pertemuan demi pertemuan telah dianjurkan oleh pihak yang terbabit bagi menjayakan matlamat menyenaraikan Melaka dalam senarai Bandar Warisan Dunia-UNESCO. Selain Melaka dan Pulai Pinang beberapa destinasi lain juga hampir berjaya disenaraikan bagi kategori Warisan Semulajadi iaitu Taman Negara Kinabalu dan Taman Negara Mulu. Senarai tentatif tapak yang-tapak bersejarah negeri ini yang dikumpul menerusi bengkel berkenaan akan diserahkan kepada pihak penilai UNESCO selewat-lewatnya pada hujung bulan ini. Mingguan Melaka : 8-14 Okt 2000. Issue 15 Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 15 (8 - 14 Oct 2000) |
||