Mingguan Melaka
     

PELABUR SINGAPURA DIPELAWA TEROKAI BIDANG BARU

AYER KEROH : Kerajaan Negeri akan terus berusaha menggalakkan kemasukan pelabur asing terutama dari Singapura untuk melabur di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, pelbagai kemudahan disediakan bagi memenuhi kehendak pelabur seperti penubuhan pusat polisi ekspres yang berfungsi untuk mempercepatkan kelulusan pembinaan kilang.

Menurutnya, untuk mencapai matlamat itu, kerajaan negeri turut mewujudkan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Graha Umno, Jalan Hang Tuah yang bertindak sebagai pusat setempat yang mempamerkan produk yang dihasilkan oleh pekilang tempatan dan pengusaha luar negara yang beroperasi di Melaka.

Mohd Ali berkata, melalui MITC, pelbagai maklumat boleh diperolehi bagi membantu pelabur baru mengenal pasti peluang perniagaan serta pelaburan di negeri ini dari semasa ke semasa.

"Melalui kaedah dan insentif yang disediakan oleh kerajaan negeri diharap pelabur Singapura terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam sektor perkilangan walaupun pelaburan mereka tidak sebesar pelabur Taiwan yang masih menguasai nilai pelaburan yang besar di Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada rombongan 30 pelabur yang mengikuti Misi Pelaburan dan Dagangan Singapura ke Melaka selama dua hari mulai 10 Oktober lepas di Bilik Gerakan Negeri, Seri Negeri di sini.

Hadir sama Pesuruhjaya Tinggi Singapura Ke Malaysia, K Kesarapany; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Hamzah Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Hamdin Abdollah dan Ketua Misi Pelaburan dan Perdagangan Singapura, George Huang yang juga Naib Presiden Persekutuan Industri Singapura.

Rombongan pelaburan Singapura turut mendengar ceramah yang disampaikan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Othman Baba dan Pengarah Bahagian Perindustrian Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Zaini Mohd Nor.

Mohd Ali juga turut mempelawa pelabur Singapura terus melabur dengan menerokai bidang pelaburan baru serta menjalankan usahasama dengan pelabur tempatan untuk faedah bersama bagi jangka panjang.

Beliau berkata, sebanyak 36 syarikat Singapura yang beroperasi di Melaka termasuk berasaskan bidang pembuatan melabur di negeri ini membabitkan RM625.7 juta jumlah pelaburan dengan menawarkan 4,096 peluang pekerjaan.

Mingguan Melaka : 29 Okt - 4 Nov 2000. Issue 18

Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 18 (29 Okt - 4 Nov 2000)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner