PENDUDUK LENDU BERPELUANG MILIKI RUMAH KOS RENDAH LENDU : Pembinaan projek perumahan kos rendah II Lendu di Mukim Lendu, Alor Gajah dijangka akan membuka peluang bagi golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah iaitu menepati hasrat kerajaan negeri bagi menjadikan setiap penduduk mempunyai rumah. Penggerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mo'min Abdul Aziz berkata kerajaan negeri berhasrat untuk membina sebanyak 10,000 unit rumah kos rendah menjelang 2005. Beliau berkata sehingga kini, statistik dari Jabatan Perancangan Bandar mendapati penduduk di negeri ini berjumlah 115,375 orang pada tahun ini dan dijangkan meningkat kepada 207,679 orang menjelang 2015 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 2.4 peratus setahun. Menurutnya, Lendu kini menuju pembangunan yang pesat dan kini terdapatnya kampus tetap Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menerima kemasukan pelajar seramai 3,580 pada tahun ini dan dijangka meningkat kepada 13,500 pelajar pada 2015. Selain itu, Mo'min berkata, kerajaan merancang membina satu rangkaian jalan keretapi dan komunter dari bandar Seremban, Port Dickson, Lendu, Rumbia dan ke bandar Melaka dalam jangka masa lima hingga 10 tahun lagi. "Kawasan ini juga terkenal sebagai pusat Satelit Bumi di Barat Semenanjung dan akan berfungsi sebagai pusat perkembangkan arus Teknologi Maklumat (IT) dan telekomunikasi di masa akan datang," katanya. Sehubungan itu, Mo'min berkata, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menyelaraskan harga rumah kos rendah dalam lingkungan RM33,000 hingga RM42,000 seunit dengan kadar keluasan lantai tidak kurang daripada 233.33 meter persegi dan mempunyai tiga bilik. Mingguan Melaka : 29 Okt - 4 Nov 2000. Issue 18 Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 18 (29 Okt - 4 Nov 2000) |
||