Mingguan Melaka
     

KDMDI DUA KALI SETAHUN

BANDAR MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam mengumumkan bahawa Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (KDMDI) akan diadakan dua kali setahun mulai tahun depan iaitu satu merupakan konvensyen khusus di Melaka dan satu lagi akan diadakan di negara lain.

Beliau berkata, Propinsi Sumatera Selatan telah menyatakan persetujuan untuk menjadi tuan rumah KDMDI yang dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Menurutnya, beliau berharap lebih banyak negara akan tampil kehadapan dan secara sukarela untuk menjadi tuan rumah KDMDI setiap tahun supaya para peserta bukan sahaja dapat mengunjungi Melaka tetapi juga negara lain di rantau Nusantara dan negara yang mempunyai penduduk Melayu dan Islam.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas majlis penutup KDMDI yang diadakan di Hotel Golden Legacy di sini baru-baru ini.

Turut hadir 500 peserta dari 23 negara yang mewakili bangsa Melayu dan masyarakat Islam di seluruh dunia berkampung selama tiga hari empat malam di sini.

RESOLUSI KONVENSYEN DUNIA MELAYU DUNIA ISLAM

1. Kerajaan Negeri Melaka hendaklah memainkan peranan penting mengadakan konvensyen ini setiap tahun. Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) menjadi Sekretariat utama dan akan bekerjasama dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena). Beberapa pertemuan lain yang berbentuk seminar, bengkel dan pameran boleh juga diadakan di negara, negeri atau propinsi di Dunia Melayu dan Islam.

2. Konvensyen ini hendaklah memberi penekanan kepada perisian semangat jati diri orang Melayu dan umat Islam di samping memberi tumpuan dalam pelbagai bidang demi untuk kesatuan dan perpaduan, pembangunan, semangat setiakawan dan bekerjasama bagi mengeratkan silaturahim sesama orang Melayu dan umat Islam di seluruh dunia.

3. Sebuah Majlis Penasihat, KDMDI diwujudkan keahliannya dipilih di kalangan pemimpin-pemimpin, para intelek dan golongan profesional yang difikirkan sesuai bagi merancang strategi perkembangan dan gagasan KDMDI yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd Ali Rustam.

4. Sekretariat KDMDI hendaklah mengutamakan pelbagai program generasi muda dengan memberi penekanan kepada pembinaan umat Islam agar menghayati jati diri Melayu dengan lebih berkesan. Mereka hendaklah menguasai ilmu teknologi maklumat, ekonomi, pendidikan dan jaringan yang teratur dan terkini.

5. Konvensyen ini menggesa semua organisasi dunia Melayu dan dunia Islam mewujudkan jaringan informasi sepenuhnya dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, penyelidikan, pembangunan dan sebagainya.

6. Konvensyen turut mengucapkan terima kasih kepada UNESCO kerana mengiktiraf kepahlawanan Hang Tuah sebagai Hero Melayu dalam Sejarah Dunia dan Hikayat Hang Tuah merupakan dokumen Melayu pertama yang diiktiraf melalui kategori 'Memory of the World'. Sehubungan itu, konvensyen membuat ketetapan agar sebuah filem bertaraf antarabangsa mengenai kejayaan dan kecemerlangan negara dan pemimpin rumpun Melayu dan Islam seperti Pahlawan Hang Tuah sebagai patriot atau Wira Dunia Melayu.

7. Para peserta KDMDI turut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri Melaka khususnya Datuk Wira Mohd Ali Rustam kerana mengambil daya usaha dan menunjukkan minat yang mendalam bagi menjayakan konvensyen ini dengan kerjasama GAPENA dan semua pihak dan perwakilan.

8. Konvensyen juga mengambil ketetapan mengutuk kekejaman Israel yang menyebabkan kematian lebih seratus nyawa penduduk Islam

Mingguan Melaka : 29 Okt - 4 Nov 2000. Issue 18

Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 18 (29 Okt - 4 Nov 2000)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner