KERAJAAN SENTIASA PEKA NASIB FAKIR MISKIN KAMPUNG GELAM : Kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap nasib golongan fakir miskin, tua dan kurang bernasib baik dan akan terus berusaha membantu mereka dengan mengadakan pelbagai program kemasyarakatan dalam usaha membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan. Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam memberitahu, kerajaan negeri akan menaikkan kadar bantuan bulanan warga tua, fakir miskin serta ibu tunggal di negeri ini mulai tahun depan iaitu dari RM150 kepada RM230 agar mereka mendapat keselesaan yang lebih baik. Katanya, dengan pertambahan bantuan bulanan itu, menjadikan peruntukan kerajaan negeri bagi membantu golongan tersebut meningkat dari RM800 ribu kepada RM1.3 juta setahun.Usaha tersebut adalah bagi membantu mengeluarkan penduduk negeri ini daripada belenggu kemiskinan. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Anak-Anak Yatim kepada 125 orang anak yatim serta Meraikan Peserta Umrah seramai 76 orang di Masjid Kampung Gelam, baru-baru ini. Majlis tersebut dianjurkan bersama oleh Kelab Media Massa Melaka (KEMM), Petronas Penapisan Melaka Sdn. Bhd. dan UMNO Cawangan Kampung Gelam. Turut hadir pada majlis itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Tangga Batu, Yaakob Md. Amin, Yang Dipertua KEMM, Ishak Mohamed Salleh, Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan dan Penyelenggaraan Projek Petronas, Zulkifli Md. Ghazali. Ketua Menteri, juga memberitahu, kerajaan negeri sedang membina sebuah sekolah anak yatim bernilai lebih RM2.4 juta di Pantai Kundur bagi memberi peluang kepada anak yatim di negeri ini mendapat pendidikan yang sempurna bagi menjadikan mereka golongan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Mingguan Melaka : 29 Okt - 4 Nov 2000. Issue 18 Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 18 (29 Okt - 4 Nov 2000) |
||