Mingguan Melaka
     

GASING PANGKAH PERMAINAN TRADISIONAL MASYARAKAT MELAKA

GASING pangkah merupakan permainan rakyat yang telah dimainkan sejak di Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi yang mempunyai kesenian tersendiri di mana mengandingankan kepakaran pembuat dan pemain.

Permainan gasing pangkah telah bertapak di negeri ini sejak abad ke-15 lagi sememangnya mempunyai ciri-ciri keistimewaan di mana kepakaran pembuat gasing menjadi tunjang kepada penghasilan sesebuah gasing itu.

Bagi menghasilkan sebuah gasing pangkah, pembuat gasing akan memastikan jenis kayu yang baik bagi menjamin ketahanannya di samping keseimbangannya yang menjadi kayu pengukur kepada kejayaan pemain.

Bagi pemain pula, kepakarannya untuk memangkah dan memastikan gasing pihak lawan berjaya dipangkah merupakan kesenian permainan itu yang menjadi titik tolak kejayaan sesebuah pasukan untuk bergelar juara.

Jika di zaman dahulu, permainan gasing pangkah melibatkan pengaruh pawang dan bomoh untuk memastikan gasing yang berpusing itu mampu bertahan di samping "kepercayaan" melemahkan semangat lawan dan mengalihkan pemumpuan.

Permainan gasing pangkah bukan sahaja melibatkan penumpuan yang khusus tetapi kepakaran untuk memangkah dan mematikan gasing lawan juga memainkan peranan kerana setiap balingan (pangkahan) perlu menepati sasaran.

Di samping itu juga, mengikut kepercayaan masyarakat dahulu, pemainan gasing pangkah juga boleh menghalau hantu yang merosakkan hasil tanaman disebabkan bunyi dentum yang kuat apabila hantukan berlaku di antara sebuah gasing dengan sebuah gasing yang lain.

Pelbagai jenis gasing pangkah terdapat di negeri ini antaranya "gasing bulat" atau "gasing tunjang", "gasing botol" atau "gasing jantung" manakala "gasing leper" pula juga dikenali sebagai "gasing pereng" atau "gasing merempang".

Penggunaan kayu yang berkualiti dan keras menjadikan sesebuah gasing itu sukar retak atau pecah bagi menghasilkan sebuah gasing yang mantap apabila berhadapan dengan pihak lawan ketika pertandingan.

Pembuat gasing akan memastikan kayu yang berkualiti sahaja mampu menghasilkan sebuah gasing yang mampu bertahan lama antara kayu yang sering digunakan ialah merbau, limaum, jambu batu, kualang, bakau, rhu dan leban.

Bagi menghasilkan sebuah gasing memerlukan kemahiran serta pengetahuan di samping bakat dan seni untuk menghasilkan produk yang berkualiti, bentuk yang ringkas termasuk tali bagi melilit untuk memusingkan gasing.

Tali yang di perbuat daripada benang atau tali terap di mana bahagian pangkal besar dililit di tangan permain manakala hujung tali yang halus melilitkan di bahagian atas kepala gasing melawan arah jam.

Permainan gasing kini kurang mendapat sambutan di kalangan generasi muda disebabkan pengaruh arus perbangunan yang menghasilkan lebih banyak permainan yang baru.

Bagaimanapun, perubahan masa turut mempengaruhi permainan gasing pangkah yang mana beberapa peraturan telah diperkenalkan bagi menarik minat golongan muda menyertainya di samping menjadikan permainan itu lebih mencabar.

Pengerusi Lembaga Pengadil Malaysia dan juga Jurulatih Persatuan Gasing Negeri Melaka (Pergam), Koh Kim Bok berkata, setakat kini sebanyak lapan gelanggang gasing yang masih aktif antaranya di Bukit Rambai, Serkam dan Bukit Sengeh.

Beliau berkata, gelanggang permainan gasing memerlukan kawasan yang sesuai iaitu tanah yang rata dan keras di mana keluasan sesuatu gelanggang itu sekitar 14 x 14 meter (m) dengan penyertaan lapan permain bagi membentuk dua regu.

Ketika ditemui Mingguan Melaka di rumahnya di Bukit Rambai di sini, Koh yang lebih dikenali sebagai Baba Kim Bok berkata setiap hujung minggu pesatuan gasing akan menjalani latihan serta mengadakan pertandingan pertunjukan di Gelanggang Gasing Pangkah di Bandar Hilir.

Menurutnya, orang ramai berpeluang untuk menyaksikan permainan rakyat itu yang kini telah diadaptasikan lebih berbentuk sukan dalam usaha menarik minat orang ramai menyertainya.

Baba Kim Bok yang pernah mewakili pasukan Melaka dalam beberapa kejohanan gasing pangkah antaranya "Melayu Merdeka Challenge Shield" pada 1957 lepas.

Penglibatan beliau bukan sahaja sebagai jurulatih dan pengadil perlawanan malah turut membuat gasing pangkah di samping menjalankan perusahan kecil-kecilan menghasilkan kraftangan berbentuk gasing.

Mengenai sukan gasing pangkah, Baba Kim Bok berkata setiap gasing perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan iaitu dari segi panjangnya mata gasing, ukur lilit, berat dan juga jumlah uri hidup (gasing yang masih berpusing setelah dipangkah).

"Jika dulu, kiraan mata ditentukan berapa lama uri berpusing (gasing berpusing) setelah dipangkah tetapi kini ditukar kepada jumlah uri hidup pula secara tidak langsung dapat menjimatkan masa," katanya.

Baba Kim Bok berkata, setiap permainan mempunyai dua pihak iaitu pemusing dan pemangkah di mana pemusing perlu memusingkan gasing mereka di dalam kawasan yang ditetapkan.

"Manakala pemangkah perlu memangkah gasing pemusing sama ada untuk memati atau mengeluarkan gasing dari kawasan yang ditetapkan sebelum ditentukan jumlah uri hidup," katanya.

Beliau berkata, Pergam sememangnya mengalu-alukan golongan muda terutama para belia untuk menyertai mana-mana persatuan gasing pangkah dalam usaha melahirkan pemain gasing pangkah yang berkualiti sekaligus mampu mengharumkan Melaka di peringkat kebangsaan.

Mingguan Melaka : 29 Okt - 4 Nov 2000. Issue 18

Copyright 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 18 (29 Okt - 4 Nov 2000)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner