Mingguan Melaka
     

MELAKA DAPAT SEBUAH UNIVERSITI

BELANJAWAN 2001 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, minggu lalu menunjukkan usaha kerajaan untuk menjadikan negara sebagai nagara maju selaras dengan Wawasan 2020.

Belanjawan tersebut juga memberikan penekanan kepada usaha meningkatkan pembelanjaran ekonomi pengetahuan (K-ekonomi) sebagai langkah persediaan untuk mewujudkan masyarakat berilmu dan berjaya di masa hadapan.

Suhubungan dengan itu, Melaka berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana memperuntukkan sebuah universiti di Melaka yang akan membolehkan negeri ini melahirkan lebih banyak golongan cendekiawan.

Ketua Menteri, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, penubuhan universiti itu sememangnya dinanti-nanti oleh rakyat Melaka dan kerajaan negeri telah menyediakan sebuah tapak di Durian Tunggal, bagi tujuan itu.

Dalam Pembentangan belanjawan itu, sebanyak RM3.5billion disediakan bagi pembinaan empat buah universiti baru iaitu di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perlis.

Mohd. Ali mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan kerana meluluskan sebuah universiti baru untuk Melaka dan di bawah Dasar Pertanian Negara yang ketiga, kerajaan persekutuan juga telah memeteraikan perjanjian dengan Kerajaan negeri Melaka bagi mamajukan sektor pertanian di negeri ini di bawah program Taman Kekal Pengeluaran Makanan.

Beliau yakin penubuhan Universiti Malaysia Melaka (UMM) itu akan membolehkan negeri ini menyumbang kepada permintaan tenaga kerja mahir dalam bidang tertentu dalam usaga Melaka menjadi negara maju menjelang 2010 dan Malaysia pada 2020.


Mingguan Melaka : 5 Nov - 11 Nov 2000. Issue 19

Copyright © 2000 by IKSEP, Melaka . Issue 19 (5 Nov - 11 Nov 2000)

     
   

 

Contact us at :   Proudly Hosted by ,
Mail To iksep@melaka.net   Melaka Net Banner